PADA hari ini, seluruh pelosok rakyat negara ini tidak mengira kaum, peringkat umur, pekerjaan, kaya atau miskin dan juga fahaman politiknya, kesemuanya tidak terkecuali menyambut Hari Malaysia.
Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun adalah hari yang menjadi milik semua.
Tidak seorang pun di antara kita, perlu berasa diketepikan, sangsi atau terpinggir dalam menyambut hari yang amat bermakna dan bersejarah kepada negara ini.
Dan ia juga bukan hanya untuk dikenang dan diraikan oleh generasi terdahulu. Generasi muda, tidak kira apa jua kecenderungan serta minatnya, perlu dibawa bersama dalam arus menghayati erti Hari Malaysia kerana kesannya yang bukan sedikit terhadap pembangunan negara dari dulu sehingga kini.
Justeru, pengetahuan terhadap sejarah adalah kata kuncinya. Orang cerdik pandai sering berkata, sejarah merupakan guru terbaik untuk mendidik manusia menjadikan sesuatu yang lalu sebagai teladan atau sempadan. Sejarah adalah kebijaksanaan silam yang boleh dimanfaatkan untuk membina masa depan.
Tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, pengetahuan dan pemahaman dalam sejarah negara adalah amat penting kerana ia adalah akar tunjang sesuatu bangsa.
Kerana itu, katanya, pengetahuan tentang sejarah negara ini adalah kunci kepada perpaduan dan persefahaman antara kaum.
Sebab itu, sejarah perlu dijadikan bahan rujukan dalam apa jua isu berbangkit mengenai ' negara bangsa' ini.
Pun begitu, katanya, apa yang berlaku kini adalah cabaran dalam menegak dan memperkasa sejarah negara, bukan sahaja terhadap golongan muda tetapi golongan terdahulu.
Jelas Kay Kim, terdapat generasi terdahulu yang buta sejarah, tetapi pada masa sama berkecenderungan untuk campur tangan dalam mempertikaikan sejarah sekali gus mengelirukan ramai pihak.
"Mereka ini yang tidak memahami sejarah, cuma mendengar dan mengutip sejarah negara dari sana sini tanpa melihat kepada tafsiran dalam undang-undang dan Perlembagaan negara.
"Dan mereka juga menyalah tafsir kenyataan-kenyataan mengenai sejarah negara yang kebanyakannya menggunakan bahasa yang teknikal,'' katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, katanya, terdapatnya fakta-fakta yang salah mengenai sejarah negara di dalam Internet yang dirujuk oleh generasi muda atau pihak yang mempunyai kepentingan untuk memanipulasikan ia. Dan perkara ini memburukkan lagi keadaan.
Justeru, dalam menangani isu kecetekan ilmu sejarah ini, jelas Kay Kim, pelajaran sejarah perlu diperkasakan dari peringkat sekolah rendah dengan melatih guru-guru sejarah yang benar-benar mahir mengajar mata pelajaran itu.
Hari Malaysia disambut bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh 16 September 1963 yang menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 rakyat berbilang kaum.
Bagaimanapun, penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrontasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga 1966.
Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British.
Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei pada penghujung 1962.
Bagaimanapun, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.
Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 kepada 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold.
Namun tarikh itu pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina memperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia.
Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.
Sebelum ini, Hari Malaysia merupakan cuti am di Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun mulai 2010, Hari Malaysia juga diisytiharkan cuti am di semua negeri di Malaysia.
Dan yang menjadikan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini lebih menarik dan bermakna adalah kerana acara sambutannya diadakan serentak dengan Hari Kemerdekaan Ke-54 negara.
Dalam usia 48 tahun Malaysia dibentuk, proses pembinaan negara Malaysia secara keseluruhannya mengambil masa yang panjang dan sudah tentunya tempoh itu dilalui dengan pelbagai dugaan, cabaran dan kesulitan oleh pemimpin dan generasi terdahulu.
Justeru, adalah merugikan jika segala kesukaran dan kepayahan itu disia-siakan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu dan bertelagah dalam segala isu yang akhirnya meruntuhkan penyatuan Malaysia ini.
Dan perlu diakui, kekuatan Malaysia bukan sahaja terletak pada pembangunan di negeri-negeri Semenanjung sahaja, tetapi juga di Sabah dan Sarawak yang menjana ekonomi Malaysia keseluruhannya.
0 comments:
Post a Comment