Sejarah. Biarlah ia berlalu. Jadikanlah ia guru. Walaupun apa yang ia kata pahit untuk diterima, ambillah pengajaran daripada nya. Dengan mengambil pelajaran daripadanya, pandanglah ke depan, bukan ke belakang.
Bukan salah kita sejarah menjadi begitu. Itu keputusan dan pelakuan datuk nenek dan ibu bapa kita. Tentulah ada alasan mereka yang mungkin kita tidak fahami. Sememangnya mustahil untuk kita fahami semuanya. Manusia yang hidup hari ini hanya dapat mentafsir apa yang telah berlaku. Ini kerana apa yang berlaku sudah berlalu. Ia tidak wujud. Yang ada hanya ingatan atau bahan-bahan bersejarah yang tentunya berbentuk bayang-bayang daripada apa yang sebenarnya berlaku.
Justeru, maafkan mereka jika keputusan dan perlakuan itu menyusahkan kita. Lagipun kebanyakan daripada mereka sudah tiada. Kita yang mewarisi bumi ini pula perlu memikul tanggungjawab untuk memperbaikinya bagi ditinggalkan kepada anak cucu pula.
Sesungguhnya kita juga membuat keputusan hari ini atas pemahaman dan kemampuan yang ada. Jika silap dan menyusahkan anak cucu kita kelak, adalah diharapkan mereka juga memaafkan kita pula.
Pada saat Malaysia menyambut penubuhannya yang ke 48 tahun ini, apa yang kita perlu lakukan ialah pandang ke depan, dan bukannya ke belakang.
Malaysia adalah sebuah negara yang dari segi kawasan tanahnya meliputi Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.
Banyak peristiwa suka duka yang menjadi sejarah telah berlaku 48 tahun lalu hingga melahirkan Malaysia. Tetapi hakikatnya dari segi wilayah bumi, inilah dia Malaysia.
Tetapi sesebuah negara bukan terdiri daripada tanah semata-mata. Ataupun tanah dan air, serta ruang udara di atasnya semata-mata.
Apa yang dikatakan Malaysia adalah manusianya. Iaitu manusia-manusia yang bergelar sebagai warganegara Malaysia.
Tepat pada 16 September 1963, semua warganegara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah secara automatik menjadi warganegara Malaysia.
Selepas 9 Ogos 1965, Singapura tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia. Maka dipisahkanlah antara warganegara Singapura dengan warganegara Malaysia.
Sejak tahun itu hinggalah hari ini, banyak lagi manusia yang menjadi warganegara Malaysia.
Merekalah yang memikul tanggungjawab untuk mencorakkan masa depan negara.
Hakikatnya dalam Malaysia terdapat penduduk yang sebahagian besarnya adalah warganegara Malaysia, dan sebahagiannya tidak. Mereka adalah penduduk tetap dan pendatang yang mencari rezeki di negara bertuah ini.
Tetapi bagi warganegara Malaysia, mereka bukan saja mencari rezeki di negara ini. Atau hanya menjadi penduduk di negara permai ini.
Warganegara Malaysia yang mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap negara ini perlu mempunyai rasa cinta pada negaranya.
sumbangan
Dengan rasa cinta pada negara, barulah semangat patriotisme dapat diwujudkan, dan seterusnya mampu memberi sumbangan kepada pencapaian negara pada masa akan datang.
Tetapi apakah dia cinta pada negara?
Adakah dengan mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyi lagu-lagu patriotik dan mengambil bahagian dalam perarakan Hari Kemerdekaan merupakan rasa cinta pada negara?
Perbuatan-perbuatan itu adalah penzahiran kepada rasa cinta pada negara. Suatu manifestasi. Tetapi masih lagi persoalannya, apakah rasa cinta pada negara? Untuk mengetahui apakah itu cinta pada negara, maka terlebih dahulu perlu diketahui apakah itu negara?
Negara adalah satu konsep atau rekaan dalam otak manusia terhadap suatu bahagian muka bumi ini yang difikirkan sebagai tempat tinggal atau milik bersama. Konsep negara ini pula berkaitan dengan bangsa. Istilah bangsa seringkali dikelirukan dengan kaum, keturunan atau jati diri yang dikongsi bersama.
Bangsa bukannya kaum. Dalam zaman ini di mana manusia diuruskan melalui kewujudan negara, bangsa dirujukkan kepada warganegara. Maka semua warganegara Malaysia adalah bangsa Malaysia.
Seringkali konsep warganegara itu disamakan dengan rakyat. Pada satu sudut, warganegara dan rakyat boleh bermakna serupa. Tetapi di sudut lain ia berbeza.
Ini kerana perkataan rakyat itu pada zaman dahulu adalah untuk merujuk kepada hubungan antara raja dengan rakyat. Raja sebagai pemerintah rakyat.
Tetapi apabila sesebuah negara sudah mengamal sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen seperti Malaysia maka pihak yang bertanggungjawab pada negara adalah rakyat sendiri melalui kedudukan mereka sebagai warganegara.
Maka warganegara yang berkesan adalah mereka yang mempunyai perasaan cinta pada tanahairnya. Perasaan cinta pada Malaysia adalah juga bermakna cinta pada negara dan bangsa Malaysia.
Selanjutnya untuk memahami konsep negara bangsa ini pula, contoh terbaik ialah keluarga. Sesebuah keluarga tentunya mempunyai anggota-anggota dengan memiliki ruang kediaman.
Jadi negara bangsa itu boleh digambarkan sebagai satu keluarga dengan rumahnya.
Justeru apabila seseorang itu mencintai negaranya, bererti dia turut menyayangi bangsanya, perasaannya adalah tidak ubah seperti mana ia mencintai keluarga dan rumah kediamannya.
Inilah apa yang disebutkan sebagai patriotisme. Seseorang itu menyayangi negaranya yang boleh terserlah dalam pelbagai bentuk.
Sama ada dalam bentuk dorongan untuk bersorak menyokong ahli-ahli sukan negara atau pasukan bola sepak Harimau Malaya hinggalah kepada mengibarkan Jalur Gemilang pada hari-hari perayaan kebangsaan seperti Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Itu dari segi penzahiran. Tetapi dari sudut perasaan, patriotisme bermakna sanggup melakukan sesuatu bagi mempertahankan dan membela negara. Yang nyata adalah seperti berjuang mempertahankan negara.
Tetapi tidak kurang penting ialah berusaha supaya negara ini maju dan bangsa Malaysia memperoleh manfaat hingga ke anak cucu.
Tentulah kemuncak daripada patriotisme ialah sanggup berkorban untuk negara dalam peperangan mempertahankan ibu pertiwi. Selain para tentera, mereka yang menyabung nyawa untuk mempertahankan negara adalah patriotik.
Tetapi tidak kurang penting, malah amat penting ialah mengelak diri daripada melakukan sesuatu yang boleh membahayakan negara. Sama ada ia jenayah atau tidak, jika seseorang patriot memikirkan mengenai negaranya, pasti ia mengambil kira sama ada tindakannya boleh merosakkan negara.
Contoh besar ialah rasuah. Seseorang yang melakukan rasuah adalah jelas menjejaskan negaranya. Rasuah menjadi barah yang boleh merebak dan akhirnya meruntuhkan negara.
Bagi rakyat yang cintakan negara, maka mereka wajar mengelakkan diri daripada melakukan amalan rasuah.
Maka dalam kerja seharian, sama ada menjadi penjawat awam, atau kakitangan sektor swasta, sifat cintakan negara merupakan nilai moral atau akhlak yang istimewa.
Hanya perasaan budi masing-masing yang boleh menilai sama ada wujud cinta pada negaranya. Sebenarnya ia tidak perlu dilaung-laungkan tetapi setiap langkah dalam kehidupan seharian boleh dinilai sama ada ia merupakan perasaan cinta pada negara atau tidak.
Ukuran cinta pada negara ini dapat diuji apabila seseorang itu berdepan dengan dilema. iaitu juga timbul suatu masalah yang memerlukan pengorbanan terhadap kepentingan diri berbanding negara.
Jika seseorang itu mengutamakan kepentingan diri daripada negara, maka dapat dinilai bahawa kecintaannya pada negara adalah rendah.
Contoh jelas ialah apabila seseorang berdepan dengan dilema sama ada hendak mencari kesenangan hidup di negara lain dengan melepaskan kewarganegaraan Malaysianya.
Jika seseorang itu menilai bahawa ia sanggup melepaskan kewarganegarannya kerana kepentingan material dirinya, maka ternyata cintanya pada Malaysia tidak ada.
Tetapi ada pula orang yang tetap menjadi warganegara Malaysia tetapi hanya kerana kepentingan peribadinya. Bukanlah ada perasaan sayang pada negara.
Sebagai contoh, orang seperti ini memburuk-burukkan negara melalui percakapannya seolah-olah Malaysia ini teruk dan tidak ada masa depan.
Hakikatnya, buruk dan baik Malaysia adalah juga bergantung kepada tingkah laku warganegaranya. Masa depan Malaysia juga bergantung kepada usaha dan kasih sayangnya pada negara.
Kalaulah perkara-perkara masa lalu menimbulkan perbalahan antara kalangan warganegara, maka lebih baik biarlah apa yang berlaku berlalu. Jadikannya guru bagi panduan masa akan datang.
Hakikatnya, Malaysia sudah memberi kesenangan kepada kebanyakan warganegaranya. Ia merupakan negara yang bukan saja berjaya tetapi juga bergaya.
Masa depannya cerah. Demi Malaysia, lebih baik alihkan pandangan pada masa depan dengan melihat sinar di balik awan.
Percayalah, generasi muda akan menikmati hidup yang akan menambah lagi rasa cintanya pada Malaysia.
0 comments:
Post a Comment