Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 26, 2017

RANGKA WANITA ZAMAN NEOLITIK DIJUMPAI

dasf



KEPALA BATAS - Penemuan terbaru rangka dipercayai milik manusia purba berusia 5,000 hingga 6,000 tahun di tapak pembinaan arkeologi Guar Kepah, di sini pada Isnin lepas berkemungkinan seorang wanita.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata ini berdasarkan penelitian awal pihaknya pada rangka yang dijumpai dikebumikan dalam timbunan kerang itu.

"Berdasarkan keadaan giginya, rangka itu dipercayai wanita tetapi kami perlu melakukan kajian bagi mengesahkan jantina, umur, sebab kematian dan genetiknya," katanya kepada pemberita di tapak itu di sini hari ini.

Rangka itu ditemukan ketika kontraktor dan pihak PPAG sedang menggali tanah untuk meletakkan batu asas bagi pembinaan galeri arkeologi Guar Kepah Isnin lepas dan penemuan berkenaan menyebabkan kerja pembinaan galeri itu dihentikan serta-merta dan kerja penggalian di tapak tersebut untuk mencari artifak yang dijumpai bersama-sama rangka itu diteruskan.

Beliau berkata penemuan rangka itu juga membuktikan wujud manusia prasejarah Neolitik di Semenanjung Malaysia ketika itu dan pihaknya percaya ia merupakan satu-satunya rangka manusia zaman itu yang dijumpai ditanam mengikut adat masyarakat purba dengan menggunakan tembikar, kulit kerang serta kepah.

"Rangka daripada bahagian pinggul hingga kepala itu ditemukan dalam keadaan sempurna dan ia tertanam dalam timbunan kerang yang dipercayai menjadi budaya masyarakat pada zaman itu. Bahagian kaki pula terkena jengkaut ketika kerja penggalian dijalankan.

"Kami temukan rangka itu dalam keadaan mengiring di sebelah kanan dan tangannya diletakkan pada dada, selain ditimbus dengan kerang, terdapat juga tembikar dan alat peralatan memburu yang diperbuat daripada batu bersama rangka tersebut," katanya.

Mokhtar yang juga ahli arkeologi berkata penemuan itu sudah lama dinantikan kerana galeri itu, apabila siap nanti, bukan sahaja mempamerkan objek dan peralatan yang pernah digunakan pada zaman Neolitik, tetapi juga akan menempatkan rangka manusia yang hidup pada zaman itu.

"Ini satu penemuan penting yang memberikan kita gambaran bagaimana kehidupan manusia pada zaman itu. Kami juga menemukan tujuh jenis kulit kerang, rangka babi dan rusa yang mana ia memberitahu kita tentang diet pemakanan mereka. Sekarang kami ada rangka manusia, penemuan itu sudah lengkap," katanya.

Katanya sebaik saja rangka yang dijumpai di kawasan pasir pada aras laut iaitu lapisan budaya paling bawah itu berjaya digali dan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu, ia akan dihantar ke USM bagi ujian saintifik dan analisis.

Mokhtar berkata rangka manusia itu berada di bahagian paling bawah di tapak berkenaan kerana bahagian atas sudah dialihkan ketika ahli arkeologi British pertama kali menemukan rangka di situ pada 1860.

"Kawasan tamadun awal itu telah ditemukan oleh pengkaji British pada tahun 1860 lagi dan sebanyak sembilan rangka telah dijumpai serta ia disimpan di Leiden, Belanda bagi tujuan kajian.

"Kajian semula dilakukan oleh USM sejak 2010 dan kami telah mengesyorkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang agar membina sebuah galeri arkeologi di kawasan itu memandangkan ia suatu tapak penting dalam peta arkeologi dunia," katanya.

Katanya manusia pada zaman prasejarah Neolitik mengamalkan kehidupan sebagai nelayan dengan memakan makanan laut selain memburu berdasarkan penemuan-penemuan berkenaan.

Beliau berkata kerajaan negeri memberikan tapak di Guar Kepah seluas kira-kira satu hektar dan RM830,000 untuk projek pembinaan galeri itu dan ia dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun ini serta galeri tersebut akan memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat artifak sejarah di kawasan berkenaan.

Guar Kepah, yang lebih tua daripada Lembah Bujang dan Sungai Batu, Kedah satu-satunya lokasi di Semenanjung Malaysia yang menunjukkan bukti penempatan manusia zaman dulu yang dekat dengan kehidupan laut.




0 comments:

share2