Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 4, 2011

Peserta Kem Emposer ECER Mampu Cemerlang Dalam UPSR


Murid yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini digesa memanfaatkan ilmu yang diperoleh ketika menghadiri seminar dan kem motivasi di bawah program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) baru-baru ini.

Pegawai Daerah Bentong, Datuk Toantowee Mohd. Lotfie berkata, program tersebut berupaya meningkatkan keyakinan dan memberi perangsang kepada calon untuk mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Katanya, kem motivasi berkenaan telah mendedahkan murid-murid kepada peperiksaan sebenar.

''Saya yakin 132 murid yang menghadiri program ini mampu menterjemahkan segala ilmu yang mereka pelajari menerusi kem itu untuk menghadapi peperiksaan akan datang seterusnya lulus dengan cemerlang.

''Bagaimanapun, murid-murid perlu melipatgandakan lagi usaha kerana semua ilmu dan teknik menjawab soalan yang dipelajari di kem itu tidak akan berkesan jika tidak dipraktikkan selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan program Full Dress Rehearsal Camp for UPSR Examination 2011 di Dusun Ecoresort dekat sini, semalam.

Seramai 132 pelajar cemerlang dari sembilan sekolah dari daerah ini, Temerloh dan Lipis dipilih menyertai kem tersebut selama dua hari.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sulaiman, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Karak, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Karak dan SK Pelangai dari Bentong manakala SK Mentakab dan SJKT Mentakab dari daerah Temerloh dan SK Penjom, SJKC Chong Hwa dan SJKC Padang Tengku dari daerah Lipis.

Menurut Toantowee, program tersebut adalah sebahagian daripada program pembangunan modal insan di bawah ECER bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau memberitahu, program Empower fasa pertama yang dilaksanakan tahun lalu berjaya membantu ramai pelajar daerah itu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.

0 comments:

share2