“Selamat hari raya Perdana Menteri.” Itulah yang diucapkan oleh pesakit kanser kronik, Nurul Atikah Bazilah Samsudin, 14, sebelum mengakhiri perbualan telefon selama lima minit dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di rumahnya di Taman Mewah, Kamunting, dekat sini hari ini.
Ia mungkin ucapan hari raya pertama didengar oleh Najib pada Ramadan ini. Tetapi ia juga mungkin yang terakhir sempat diucapkan oleh Nurul Atikah Bazilah yang menghidap barah tulang dan sudah tidak diberikan harapan untuk pulih oleh doktor.
Walaupun impiannya untuk berjabat tangan dan bertemu dengan Najib tidak tercapai, anak bongsu daripada tiga beradik itu sudah cukup gembira kerana berpeluang berbual dengan pemimpin nombor satu negara yang menjadi idolanya sejak sekian lama.
“Saya sangat gembira. Dapat berbual-bual dengan Perdana Menteri pun tidak apa. Perdana Menteri minta saya makan banyak-banyak, semoga cepat sembuh serta boleh berjalan dan pergi ke sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang mewakili Perdana Menteri di rumahnya dekat sini hari ini. Semasa perbualan itu, Nurul Atikah Bazilah berkomunikasi dengan Najib menerusi telefon bimbit Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Perak, Nizamuddin Mat Isa.
Sementara itu, ibu remaja itu, Che Tom Osman, 45, berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa berbual-bual dengan anaknya bagi memenuhi impian Nurul Atikah Bazilah yang dikesan menghidap barah tulang sejak Ogos 2009.
“Saya tengok dia (Nurul) sangat gembira apabila mendengar suara Perdana Menteri. Dia yang mulanya lemah, seolah-olah mendapat tenaga untuk berbual,” ujarnya.
Menurut Che Tom yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang, selepas diberitahu anaknya sudah tiada harapan untuk hidup lama, dia dan suaminya, seorang anggota polis mencuba apa yang termampu untuk memenuhi segala kehendak Nurul Atikah Bazilah dalam masa terdekat.
Katanya, ini termasuk membeli sebidang tanah untuk membina sebuah rumah idaman anaknya itu walaupun ia masih belum tertunai kerana kesempitan wang.
“Daripada 30 orang yang sama-sama mendapatkan rawatan barah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama Nurul, kini cuma tinggal empat orang yang masih hidup termasuk Nurul. Seorang daripada mereka telah sembuh manakala tiga lagi dalam keadaan seperti Nurul,” katanya. - Utusan Malaysia
Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan usia amat menyayangi DS Najib walaupun pelbagai fitnah telah dibuat oleh pembangkang terhadap DS Najib. Sedangkan Ketua Pembangkang itu sendiri iaitu Anwar Ibrahim pula sedang bergelut pelbagai masalah moral sehinggakan dia mendapat kutukan daripada masyarakat.
0 comments:
Post a Comment