Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 14, 2011

Ternakan Puyuh Berbaloi


KUANTAN 13 Jun - Burung puyuh memang enak dimakan. Ia boleh dijadikan pelbagai hidangan seperti goreng kunyit, masak cili dan sebagainya.

Malah, telurnya pula sering mendapat permintaan tinggi di kalangan pengguna dan pengusaha restoran. Namun, pengeluaran daging puyuh secara besar-besaran di negara ini didapati masih terhad berbanding ternakan lain meskipun sambutannya begitu menggalakkan.

Melihat pasaran pengeluaran daging puyuh semakin berkembang, sebuah syarikat Bumiputera, OZ Biofarm (M) Berhad bersama peneroka Felda Lepar Hilir, di sini mengambil inisiatif untuk memulakan program perintis ternakan puyuh daging secara komersial, baru-baru ini.

OZ Biofarm yang merupakan sebuah syarikat milik penuh bumiputera di bawah subsidiari OZ Seventy Five Holdings (M) Berhad merupakan pencetus idea kepada projek tersebut. Seorang peserta, Hawari Bachik, 59, yang juga peneroka Felda Lepar Hilir 1, mengakui projek berkenaan amat berbaloi untuk diusahakan kerana ia tidak begitu sukar untuk dikendalikan.

"Saya perlu memberi lebih tumpuan terhadap 5,500 burung puyuh yang saya ternak ini terutama dalam tempoh dua minggu pertama dari aspek suhu badannya.

"Selepas itu, penjagaan ternakan ini agak ringkas iaitu saya hanya perlu menjaga pemakanan dan minumannya sebagaimana kaedah yang ditunjukkan oleh wakil syarikat OZ Biofarm," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Seorang lagi penternak, Sarijan Ali, 59, yang mengusahakan ternakan itu bersama keluarganya berkata, ternakan puyuh berupaya meningkatkan pendapatan mereka.

"Sebanyak 5,500 ekor anak puyuh dibekalkan kepada saya untuk diternak pada 29 April lalu dan kini sebahagian daripadanya sudah boleh diproses untuk dijual. Saya berpuas hati dapat menternak puyuh kerana pusingan jualannya cepat dan saya menjangkakan mampu mendapat keuntungan kira-kira RM5,000 daripada jumlah itu," katanya.

Sebelum mengecapi hasil lumayan itu, Sarijan memberitahu, dia terlebih dahulu mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM20,000 bagi penyediaan rumah puyuh, ternakan dan makanan.

Dia kini tidak teragak-agak untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ternakan itu berikutan ia menjanjikan hasil setimpal dengan kos yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, wakil Pengurusan Felda Lepar Hilir 1, Tirmizi Ruslan berkata, pihaknya menyambut baik program tersebut berikutan ia menjana pendapatan peneroka terutama ketika proses penanaman semula kelapa sawit dijalankan.

"Program ternakan puyuh adalah salah satu program Gudang Makanan Negara. Selain menghasilkan makanan kepada negara, ia bertujuan menambah pendapatan para peneroka ketika penanaman semula. Sehingga kini, program berkenaan mempamerkan sesuatu yang positif dan difahamkan ia akan diperluaskan ke felda-felda yang lain," katanya.

Sementara itu, wakil OZ Biofarm, Norhan Mohd. Nor, 36, berkata, menerusi skim SFVP atau Smart Farming Venture Program, projek itu menampakkan hasil lebih baik dari segi disiplin perniagaan dan pengkhususan penternak sebagai usahawan berdaya maju serta berdaya saing.

Beliau yang melalui pengalaman selama enam tahun menjadi penternak tunggal di situ berkata, projek ternakan puyuh daging itu dilihat sebagai salah satu program perintis yang diusahakan bersama peneroka Gugusan Felda dalam merintis salah satu program Sumber Makanan Negara.

"Para peneroka yang terlibat dalam projek ini menggunakan inisiatif modal sendiri pada peringkat permulaan dalam pembinaan reban puyuh, makanan, ubat-ubatan dan anak-anak puyuh," katanya.
Sebagai permulaan kepada projek perintis yang ditumpukan di Felda Lepar Hilir, kata Norhan, sebanyak 100,000 ekor puyuh dibekalkan kepada 10 peneroka di Felda Lepar Hilir 1 dan 4 untuk diternak.

"Kita akan menambah bilangan puyuh itu secara berperingkat-peringkat bagi memenuhi permintaan pasaran yang besar. Di samping itu, penyertaan peserta di kalangan peneroka juga akan ditambah dari semasa ke semasa bagi meningkatkan pengeluaran daging puyuh," katanya.

Norhan berkata, dari segi teknikal dan penjagaan, peneroka tidak akan menghadapi masalah kerana OZ Biofarm menyediakan khidmat nasihat secara percuma kepada peserta bermula sejak hari pertama ternakan sehingga tempoh matang 30 hari dan pemprosesan.

Seterusnya, kata beliau, daging-daging puyuh proses itu akan diedar di pasaran tempatan atau eksport ke Singapura, China dan Asia Barat kerana permintaannya yang menggalakkan.

"Bekalan puyuh di negara ini amat terhad kerana hanya segelintir pengusaha yang menjalankan ternakan ini. Ia tidak selari dengan permintaan tinggi orang ramai dan fokus kita adalah untuk memenuhi permintaan daripada beberapa pasar raya besar terlebih dahulu.

"Untuk pasaran luar negara seperti Singapura pula, kita cuba memenuhi permintaan negara jiran itu yang memerlukan bekalan daging puyuh sebanyak tujuh tan seminggu dan buat masa ini kita hanya mampu mengeksport dua tan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya projek perintis di Felda Lepar Hilir itu berjaya, pihaknya mensasarkan untuk meluaskannya ke tanah rancangan Felda di seluruh negara bagi memenuhi permintaan besar tersebut.

0 comments:

share2