KUALA LUMPUR – Drama politik Malaysia semakin hangat dengan
satu lagi “kejadian besar” dikhabarkan akan berlaku pada Julai.
Sinchew Daily melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad sedang berusaha untuk menumbangkan kerajaan Perikatan
Nasional, dan beliau hanya memerlukan tiga kerusi untuk mencapai hasrat itu.
Sudah ada desas-desus mengenai kejayaan Dr. Mahathir
menambat hati tiga wakil rakyat yang diperlukan, malahan tiga penyokong itu
dikatakan berstatus menteri dan timbalan menteri.
“Wakil rakyat ini tidak berpuas hati kerana Perikatan
Nasional kekurangan hala tuju politik dan tidak menegaskan kerajaan yang
bersih,” kata sumber.
Difahamkan, Dr. Mahathir sedang berbincang dengan Presiden
Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, termasuk mempertimbangkan Ketua Menteri Sabah
tersebut sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya berjaya merampas semula
kuasa pentadbiran negara.
“Setakat ini, Dr. Mahathir masih mahu menjadi Perdana
Menteri dan beliau tidak memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana
Menteri atau Timbalan Perdana Menteri,” kata sumber lagi.
Menurutnya, sokongan terhadap Dr. Mahathir telah mencapai
112 yang diperlukan kerana selain 92 kerusi Pakatan Harapan, beliau turut
mendapat sokongan lima penyokong daripada Bersatu, Warisan (sembilan), UPKO
(satu), selain sokongan Ahli Parlimen Sri Aman dan Selangau di Sarawak serta
tambahan tiga orang baharu.
Katanya, Dr. Mahathir pada masa yang sama juga berusaha
menarik lebih banyak wakil rakyat untuk menyokongnya.
Walau bagaimanapun, Dr. Mahathir juga perlu mendapat
sokongan Anwar termasuk perlu bertoleransi dalam hal tertentu.
“Dr. Mahathir tidak boleh menukar kerajaan tanpa sokongan
Anwar,” katanya.
SUMBER – MalaysiaGazette
0 comments:
Post a Comment