KUALA LUMPUR, 28 Mei – Malaysia mencatat angka paling rendah
kes positif baharu COVID-19 semalam iaitu hanya 15 kes, sejak Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lepas.
Menariknya, jumlah kes baharu itu memperlihatkan penurunan
sangat mendadak berbanding 187 kes positif pada hari sebelumnya, yang
sebahagian besar melibatkan individu bukan warganegara.
Melihat situasi ini, jelas memberi semangat dan harapan
untuk negara segera bebas COVID-19, apa lagi dengan bantuan barisan petugas
hadapan yang memutuskan rantaian penyakit membunuh itu.
Pun begitu, kerjasama rakyat juga sangat diperlukan, untuk
sama-sama meningkatkan disiplin dan kebersihan diri, serta mematuhi prosedur
operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, sepanjang tempoh PKP Bersyarat
(PKPB).
Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor
Hisham Abdullah dalam sidang media semalam, Kementerian Kesihatan (KKM)
menzahirkan kebimbangan akan berlaku peningkatan mendadak kes COVID-19, yang
sekali gus mengakibatkan gelombang baharu dalam negara sekiranya masyarakat
leka, tidak patuh, dan ingkar SOP.
KKM bimbang, jika berlaku peningkatan COVID-19 susulan
pergerakan orang ramai melalui aktiviti kunjung-mengunjung, rentas negeri, dan
pergaulan dalam kalangan masyarakat, semasa sambutan Aidilfitri.
Masyarakat yang kini diberikan sedikit kebebasan dengan PKPB
perlu berwaspada, dan tidak mengambil mudah situasi penurunan kes yang berlaku
semalam, kerana peperangan menghadapi virus COVID-19 masih belum tamat.
Begitu juga mengenai wabak maut ini yang dibawa tanpa
simptom, iaitu kelesuan dan hilang deria bau serta rasa,yang kini termasuk
dalam gejala COVID-19 tidak nyata.
Oleh itu, janganlah memandang ringan akan ancaman yang
dibawa pandemik ini dan cepat-cepatlah mengambil langkah sewajarnya jika berasa
badan tidak sihat.
Justeru sebagai rakyat, laksanakanlah tanggungjawab untuk
sama-sama memerangi pandemik ini.
Jangan sia-siakan setiap usaha dan titisan keringat barisan
petugas hadapan, yang bekerja tanpa mengira penat lelah sejak awal pandemik
COVID-19 menular dalam negara, dan semua pihak patut mengambil tanggung jawab
masing-masing
SUMBER .- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment