JERANTUT - Gangguan gajah liar di beberapa kampung di
sekitar Kuala Tahan sejak tahun lalu sudah dirujuk kepada kerajaan negeri untuk
tindakan penyelesaian demi keselamatan nyawa dan harta benda penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad
Badarddin berkata, beliau sendiri memaklumkan berhubung isu tersebut kepada
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
"Saya dimaklumkan sepanjang tahun 2019, lebih 50 kali
gangguan gajah liar berlaku di kawasan ini termasuk di Kampung Gol dan
Perkampungan Asli Sungai Tiang.
"Tahun ini pula, gajah-gajah menceroboh beberapa
kampung lain termasuk kawasan Kampung Labu, Lubuk Payung, Ulu Retang, Kampung
Rebus dan menghampiri Ladang Felda Padang Piol," katanya ketika dihubungi
hari ini.
Menurutnya, kejadian terbaharu berlaku pada 27 Mei lalu di
Kampung Gol menyebabkan banyak tanaman penduduk rosak dan penduduk berdepan
ancaman keselamatan apabila haiwan itu menceroboh kawasan rumah.
"Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, penduduk
turut panik apabila gajah berkenaan masuk dan menghampiri kediaman serta
merosakkan tanaman.
"Difahamkan gajah liar yang sering menceroboh kampung
ini hanya seekor tapi di kawasan lain melibatkan kawanan gajah lebih 10
ekor," katanya.
Katanya, masalah itu sudah diadukan kepada pihak Jabatan
Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan tindakan segera
diambil setiap kali ada aduan daripada penduduk.
"Walaupun jabatan sudah menjalankan tugas mereka
melalui pelbagai kaedah termasuk menghalau dan membuat pemantauan bagi
membendung masalah gangguan gajah liar terus berulang, namun haiwan berkenaan
terus kembali untuk mencari makanan pada waktu malam.
"Kita percaya gajah-gajah ini dari kawasan hutan
berhampiran dan masalah ini berlaku mungkin atas faktor habitat mereka yang
semakin terjejas hingga terpaksa mencari makan di kebun sawit dan di kawasan
berpenduduk," katanya.
SUMBER : SINAR HARIAN
0 comments:
Post a Comment