KUALA LUMPUR, 24 Mac – Pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ketujuh hari ini akan menyaksikan tumpuan
diberikan kepada lapan peratus rakyat yang masih tidak patuh kepada arahan PKP
ini.
Ini bagi memastikan sasaran 100 peratus pematuhan rakyat
terhadap PKP yang dilaksanakan bagi mengekang wabak COVID-19 ini akan tercapai.
Memetik kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas semalam, sepanjang tempoh PKP
dilaksanakan setakat Isnin kadar pematuhan rakyat Malaysia menunjukkan
peningkatan sehingga 92 peratus.
Justeru, pada peringkat ini hanya golongan pekerja yang
terlibat dengan perkhidmatan penting sahaja dibenarkan berada di luar rumah.
Ini termasuk ketua keluarga atau wakil setiap keluarga yang
perlu membeli barang keperluan atau mendapatkan rawatan kesihatan, manakala
bagi yang tidak terlibat, perlu berada di rumah bagi memutuskan rantaian
jangkitan virus COVID-19 yang telah meragut 14 nyawa di negara ini setakat
semalam.
Kerajaan juga memandang serius tahap kesedaran penjarakan
sosial yang disifatkan masih gagal dicapai oleh rakyat yang perlu berada di
luar rumah.
Ini kerana rata-rata mereka yang keluar ke pasar awam atau
pasar raya untuk mendapatkan barangan harian masih lagi berpusu-pusu tanpa
menghiraukan peraturan penjarakan sosial yang ditetapkan iaitu satu meter
antara satu dengan lain.
Justeru tumpuan pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini ialah memastikan penjarakan
sosial ini dipatuhi dengan memastikan pasar awam dan pasar raya ini mengehadkan
jumlah pembeli dalam satu-satu masa dan membuat garisan jarak sejauh satu meter
untuk pelanggan membuat bayaran.
Orang ramai juga dinasihatkan terus berada di rumah dengan
mengamalkan kebersihan seperti membasuh tangan dan mematuhi penjarakan sosial
jika perlu berada di luar.
Sebagai tanda prihatin kerajaan semalam mengumumkan beberapa
inisiatif bagi membantu rakyat meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi yang
mencabar ketika ini.
Antaranya adalah pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP) berumur bawah 55 tahun dibenar membuat pengeluaran dari Akaun 2
masing-masing bermula 1 April depan.
Menerusi kemudahan ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah
55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing
tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.
Kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah
RM600 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani COVID-19
dan membiayai pengambilan kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya
jururawat.
Bagi meringankan beban kerajaan negeri, sebanyak RM130 juta
disalurkan kepada semua negeri untuk membantu mereka menangani krisis wabak
itu.
Tidak ketinggalan bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN), kerajaan bersetuju memberikan lanjutan masa daripada
tiga bulan kepada enam bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman
berkuatkuasa serta-merta sehingga 30 Sept, yang melibatkan kutipan berjumlah
RM750 juta.
SUMBER – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment