KUANTAN, 23 MAC 2020 : Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan
tambahan enam lagi inisiatif sebagai bantuan kepada mereka yang terjejas akibat
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan COVID-19 di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan
Ismail berkata inisiatif ini diberikan kepada mereka yang terjejas sumber
pendapatan dan menerima kesan secara langsung atau tidak langsung akibat PKP
yang dijalankan ini.
“Kerajaan Negeri melalui peruntukan khas sebanyak RM3.587
juta akan memberikan bantuan khas tunai secara ‘one-off ’ sebanyak RM150 dan
barangan makanan seperti beras, tepung, gula dan sebagainya bernilai RM50
kepada kira-kira 17,935 penerima yang dijangka akan diagihkan bermula esok, 24
Mac 2020.
“Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan khas sebanyak
RM252,000 kepada 42 Ahli Dewan Negeri di Pahang bagi membantu secara terus
rakyat yang terjejas dengan penularan wabak COVID-19 ini.
“Potongan sebanyak 50 peratus daripada kadar sewa bulanan
Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan Rancangan Rumah Murah (PRM) di
seluruh Pahang diberikan bagi bulan April 2020 yang melibatkan 2,453 penyewa
dengan kos sebanyak RM150,000,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari
ini.
“Pemotongan ini melibatkan penjaja dan peniaga kecil bagi
pembayaran sewa, bayaran permit pasar tani, pasar pagi, pasar malam, dan car
boot sale yang memberi manfaat kepada 6,238 golongan peniaga kecil dan penjaja
melibatkan jumlah sebanyak RM1.293 juta.
“Bayaran bagi kesemua bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) Pahang akan dipercepatkan bayaran iaitu pada 27 Mac ini merangkumi
bantuan am, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja cacat, bantuan penjagaan orang
kelainan upaya (OKU) terlantar/pesakit kronik terlantar, bantuan OKU tidak
bekerja, bantuan orang tua, bantuan anak pelihara dan bantuan latihan perintis
kepada 28,806 penerima dengan jumlah keseluruhan RM8.95 juta.
“Kerajaan Negeri juga bersetuju meluluskan peruntukan
sebanyak RM765,800 bagi kos penyediaan makanan kepada petugas di bilik gerakan
operasi dan pasukan keselamatan yang terlibat sebagai menghargai jasa dan
pengorbanan mereka,” katanya.
Beliau berkata selain daripada inisiatif yang diumumkan ini,
pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut menyediakan
peruntukan khas kepada golongan asnaf yang terlibat.
Selain itu, beliau juga amat mengalu-alukan sumbangan
daripada semua pihak termasuklah Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri,
syarikat-syarikat swasta terutamanya yang beroperasi di negeri Pahang, dan
mana-mana pihak yang bermurah hati untuk menyumbang kepada Tabung COVID-19
Pahang.
“Sumbangan boleh dibuat atas nama Perbendaharaan Negeri
Pahang, di nombor akaun
06010002165711 di bawah Bank Muamalat dengan menyatakan
TABUNGCOVID19PAHANG.
“Sumbangan ini juga boleh dibuat melalui pindahan bank,
pindahan melalui mesin ATM, atau melalui aplikasi digital PahangGo,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada
semua pihak yang terlibat dalam usaha membendung wabak pandemik COVID-19 di
negeri Pahang.
Selain itu, beliau turut menyeru semua rakyat Pahang supaya
terus patuh kepada arahan
Perintah Kawalan Pergerakan dengan kekal berada di rumah.
“Sehingga 23 Mac 2020, seramai 56 orang pesakit telah
dikenalpasti positif COVID-19 di negeri Pahang dan angka ini mencatat
peningkatan hampir setiap hari dan amatlah membimbangkan. “Saya menyeru kita
semua terus patuh kepada arahan PKP ini dan kekal berada di rumah kerana
kita ingin memutuskan rantaian virus ini. Jika ini berjaya
kita lakukan, InsyaAllah tiada lagi kes
baharu dan kita dapat tumpu untuk pulihkan pesakit sedia
ada. Semoga semua usaha keras untuk menangani wabak ini akan berjaya,
InsyaAllah,” katanya lagi.
SUMBER – PAHANGMEDIA
0 comments:
Post a Comment