KUANTAN - Kebajikan masyarakat orang asli di pedalaman
Cameron Highlands tidak akan dipinggirkan termasuk tidak terputus bekalan
makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor berkata,
pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Kementerian Perpaduan Negara
dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JaKOA) Pahang bagi memastikan kebajikan
masyarakat berkenaan terjaga sepanjang tempoh terlibat.
Ini kerana katanya, arahan dikeluarkan kerajaan itu telah
mengehadkan aktiviti seharian mereka dan dikhuatiri menyebabkan mereka tidak
mendapat keperluan sewajarnya.
"Perkara ini saya sudah sampaikan kepada Menteri
Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan JaKOA Pahang agar
mempertimbangkan bantuan barang keperluan dan makanan kepada mereka (orang
asli).
"Kedua-dua pihak memberi maklum balas positif untuk
mengaturkan penyaluran bantuan ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ramli berkata, masyarakat orang asli di
pedalaman Cameron Highlands juga mendapat maklumat sewajarnya berhubung
Perintah Kawalan Pergerakan.
Beliau berkata, di samping akur dengan mengehadkan aktiviti
seharian mereka, masyarakat berkenaan juga turut melaksanakan langkah
pencegahan sewajarnya.
"Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam
kalangan masyarakat orang asli yang berada di perkampungan terlibat diminta
membantu membuat kawalan agar semua penduduk tidak berkumpul," katanya.
Ramli berkata, pihaknya turut membuat pemakluman berhubung
perkara itu supaya segala maklumat sampai kepada masyarakat tersebut.
"Sekarang zaman teknologi, segala maklumat dapat
disampaikan dengan mudah hanya melalui telefon," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, beliau turut
prihatin dengan petugas barisan hadapan bagi Parlimen Cameron Highlands yang
terpaksa bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
SUMBER : SINAR HARIAN
0 comments:
Post a Comment