KIMANIS, 18 Jan – Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 68
saluran dibuka dari 7.30 pagi hingga 5.00 petang ini bagi membolehkan pengundi
memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.
Proses mengundi yang akan berlangsung selama sembilan jam
setengah itu, membabitkan seramai 29,619 orang daripada 29,664 pengundi biasa
yang layak mengundi.
Parlimen Kimanis mempunyai 29,664 pengundi biasa yang layak
mengundi dan berdasarkan jumlah itu lapan daripada sembilan orang sudah mengundi
awal pada Selasa lepas, manakala 35 adalah pengundi pos dan seorang pengundi
tidak hadir (PTH) yang berada di luar negara.
Seramai 653 petugas pilihan raya dilantik Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan proses pengundian itu hari ini.
PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan
satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon
Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.
Karim dijangka mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis,
manakala Mohamad di SK Our Lady, Kampung Kelatuan di sini.
Pusat penjumlahan rasmi undi yang ditetapkan bagi PRK
Parlimen Kimanis ialah di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir,
Beaufort.
SPR sebelum ini menjangkakan peratusan pergi mengundi pada
PRK itu kira-kira 70 peratus dan keputusan pengundian dijangka diumum sebelum
10 malam.
Tempoh rasmi berkempen yang bermula sejak hari penamaan
calon pada 4 Jan lepas, berakhir pada 11.59 malam tadi.
PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan
pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang
membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi
itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas
memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan
terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan
keputusan pilihan raya.-
SUMBER:
0 comments:
Post a Comment