Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 14, 2020

[KUANTAN] SEMBILAN LAPORAN POLIS DIBUAT HINA PERMAISURI AGONG



SEMBILAN LAPORAN POLIS DIBUAT HINA PERMAISURI AGONG



Sembilan laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Facebook yang mengeluarkan kenyataan penghinaan terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Laporan berkenaan dibuat oleh wakil Majlis Pembangunan Wanita Pahang, Pergerakan Wanita UMNO Negeri Pahang, Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pekan, Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bentong, Pertubuhan Pronita Pahang, Kelab Mamanita Indera Mahkota dan dua individu lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, laporan polis yang dibuat ini adalah sebagai satu mesej kepada rakyat negara ini supaya menghormati Institusi Diraja.

“Jangan kita sewenang-wenangnya nak menulis di media sosial, nak mengata institusi diraja kita dengan panggilan-panggilan yang tidak baik yang saya kira agak biadap juga apabila ada yang menulis nenek sihir, rasis dan sebagainya.

“Kerana kita tahu Institusi Raja, Agong dan Permaisuri adalah satu lambang, satu ikon kepada negara kita serta seluruh rakyat negara,” katanya ketika ditemui UKOMP selepas membuat laporan polis berkenaan.

Sebelum ini, akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Nengtung Ting’ ditulis dalam bahasa Cina telah menghina dan mencerca KDYMM Permaisuri Agong yang juga Tengku Ampuan Pahang berikutan pengunaan tulisan jawi di dalam akaun Twitter baginda.

Katanya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini boleh mencetuskan kebencian serta perasaan tidak senang di kalangan rakyat.

“Justeru kita membuat laporan polis hari ini supaya menjadi satu pengajaran kepada rakyat negara ini. Saya meminta polis mengambil tindakan segera terhadap pengkhianat yang berselindung di sebalik nama Nengtung Ting ini dan beberapa pengguna lain yang jelas menghina KDYMM Raja Permaisuri Agong,” katanya.


0 comments:

share2