DATO’ HJ CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat
PENDIRIAN kumpulan G25 melalui laporan “Administration of
Matters Pertaining to Islam” jelas mengelirukan masyarakat tentang syariat
Islam di samping dapat dilihat adanya unsur berniat jahat terhadap agama Islam
itu sendiri.
Beberapa pertikaian yang dikemukakan terhadap isu-isu
kontroversi termasuklah hukuman hudud, akta 355, jenayah murtad dan
institusi-institusi berkaitan agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) menunjukkan pandangan mereka tidak berada pada rangka asas kefahaman
ketatanegaraan yang sepatutnya.
Sangat mendukacitakan apabila di bahagian awal laporan
berkenaan telah menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah sebuah
“dokumen perundangan bersifat sekular”. Malah, ia juga disebutkan bahawa
“undang-undang negara digubal, dilaksana dan diterjemah oleh tiga badan
sekular” iaitu Parlimen, Yang DiPertuan Agung dan Mahkamah.
Perkara ini menjelaskan bahawa kerangka negara yang
terpesong telah difahami kumpulan G25 dengan pelbagai kontroversi yang
dibangkitkan selama ini. Ironinya mereka terus bebas menyuarakan pandangan yang
serong sehingga mengelirukan masyarakat teramai.
Jarum suntikan sekularisme ini seterusnya akan mengikis
paksi agama Islam dalam negara seterusnya mereka akan terdorong untuk
meruntuhkan perkara-perkara berkaitan syariat dan institusi-institusi agama.
Justeru, pandangan skeptikal, bias dan menyeleweng tidak menghairankan
dihalakan terhadap hukuman jenayah syariat termasuklah berkaitan Akta 355,
murtad, JAKIM dan sebagainya.
Saya mengharapkan agar pihak berkuasa mengambil langkah
sewajarnya terhadap kumpulan seperti ini. Malangnya kebebasan bersuara seringkali
ditafsir dengan bebas berkata apa sahaja meskipun pendirian yang keluar
tersebut terpesong daripada wacananya yang sebenarnya.
Kerajaan diharap tegas mempertahankan syariat Islam
termasuklah memelihara institusinya seperti JAKIM dan Majlis Raja-raja agar
terus berperanan melindungi agama Islam di negara ini.
Sekian.
DATO’ HJ CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat
14 Januari 2020 bersamaan 19 Jamadil Awwal 1441H
0 comments:
Post a Comment