KUALA LUMPUR, --
Terdapat peningkatan kadar konsultasi kes penyakit seperti influenza (ILI) dan
jumlah kemasukan pesakit ke wad dengan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI)
di lokasi-lokasi sentinel di seluruh negara sejak minggu akhir Disember tahun
lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata peningkatan tersebut dikesan di Kedah, Negeri
Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor,
Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak.
"Bilangan wabak ILI juga menunjukkan peningkatan namun
keadaan masih terkawal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya survelan influenza makmal yang dijalankan oleh
Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan
(MKAK) Sungai Buloh juga menunjukkan peningkatan trend aktiviti virus influenza
dalam persekitaran.
"Bagaimanapun, tiada sebarang kelainan atau
perubahan/mutasi pada virus influenza yang menular pada ketika ini. Aktiviti
influenza ini juga adalah sama seperti aktiviti influenza yang dilaporkan oleh
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di negara tropika yang lain dalam Rantau
Asia Tenggara, Asia Selatan, Amerika Tengah dan Amerika Selatan," katanya.
Mengenai status satu kes kematian kanak-kanak yang dirawat
di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru seperti
yang dilaporkan oleh media semalam, Dr Noor Hisham menjelaskan punca kematian
pesakit tersebut masih dalam siasatan.
"Pesakit telah dirujuk ke HSA daripada sebuah hospital
swasta pada 10 Jan lepas dalam keadaan yang sangat kritikal. Kanak-kanak itu
telah menerima bantuan pernafasan dan rawatan rapi oleh pasukan perubatan yang
diketuai pakar-pakar perubatan pediatrik.
"Namun keadaan pesakit semakin tenat dan beliau telah
disahkan meninggal dunia pada 13 Jan, pukul 10.48 malam. Ujian sampel klinikal
kanak-kanak ini adalah negatif bagi jangkitan influenza," katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) juga mengambil maklum mengenai satu kes kematian kanak-kanak
yang dilaporkan oleh pihak media pada Ahad lepas (12 Jan) yang turut dikaitkan
dengan influenza.
Katanya, berdasarkan laporan awal yang diterima, pesakit
telah dibawa oleh ibu bapanya ke Jabatan Kecemasan sebuah hospital swasta di
Selangor pada 11 Jan lepas dan berada dalam keadaan yang kritikal.
"Pesakit telah meninggal dunia pada 12 Jan dan siasatan
sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian. KKM merakamkan ucapan
takziah kepada keluarga kedua-dua kanak-kanak terbabit," katanya.
SUMBER--
0 comments:
Post a Comment