KUANTAN - Peraturan larangan bagi aktiviti mendaki bukit,
gunung dan riadah di pusat rekreasi di Pahang sepanjang musim Monsun Timur Laut
ketika ini masih berkuatkuasa walaupun keadaan cuaca baik.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Kanan Bomba 1,
Ismail Abdul Ghani berkata, kawasan-kawasan rekreasi biasanya di bawah seliaan
agensi yang bertanggungjawab termasuk aspek pengendalian dan keselamatannya.
Menurutnya, agensi yang bertanggungjawab biasanya akan
mendapatkan nasihat daripada agensi-agensi lain yang berkaitan sebelum membuat
keputusan untuk membuka semula pusat rekreasi kepada awam.
"Secara umum Monsun Timur Laut masih belum tamat kerana
biasanya ia hanya akan berakhir pada penghujung Januari.
"Kami berpandangan semua agensi masih lagi dalam
keadaan siap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan akibat monsun
ini," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada orang ramai
boleh meneruskan aktiviti riadah di hutan dan bukit seperti aktiviti pendakian
dalam keadaan cuaca baik ketika ini.
Katanya, pihaknya berharap semua operator pusat-pusat
rekreasi mengutamakan aspek dan risiko sebelum membuat keputusan memulakan
operasi.
Pada 20 November lalu, peraturan larangan bagi aktiviti
mendaki bukit, gunung dan riadah di pusat rekreasi di negeri ini sepanjang
musim Monsun Timur Laut dikuatkuasakan sehingga 20 Januari 2020 atau satu
tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak
dalam kenyataan berhubung penguatkuasaan larangan itu sebelum ini berkata,
tindakan itu mengambil kira kemungkinan dan kesan buruk yang boleh berlaku.
Larangan aktiviti pendakian bukit atau gunung sama ada
secara persendirian atau berkumpulan turut tertakluk melibatkan kawasan yang
dikawal oleh pihak kerajaan negeri.
SUMBER:
0 comments:
Post a Comment