Yayasan Pahang membelanjakan RM1.2 bilion bagi tujuan dana bantuan dan program-program amal sejak beroperasi pada 1983 hingga kini.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pahang, Datuk Dr Ahmad Syukri Ismail berkata, jumlah yang dibelanjakan itu telah memberi manfaat kepada 1.5 juta warga Pahang.
"Jumlah itu dijangka akan terus meningkat dan lebih ramai lagi warga Pahang akan mendapat kebaikan, seiring matlamat penubuhan yayasan ini.
"Selain bantuan dalam bentuk kewangan dan biasiswa, Yayasan Pahang juga menganjurkan banyak program amal seperti Program Khatan Perdana dan program amal gunting rambut percuma yang menjadi acara tahunan pada musim cuti persekolahan dan menjelang pembukaan sesi baharu," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Program Gunting Rambut Amal Yayasan Pahang 2019 di lobi Kompleks Yayasan Pahang Tanjung Lumpur di sini semalam.
Seramai 180 anak-anak pelajar terlibat dalam program pada hari ini terdiri daripada pelajar sekolah terutama anak-anak yatim dalam kalangan masyarakat orang asli Kampung Sungai Soi, Flat Pak Mahat dan anak-anak dari Rapha Child Home dan penduduk sekitar yang akan memulakan sesi persekolahan baharu pada 2020.
Dr Ahmad Syukri berkata, program itu juga diharap dapat meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dalam menguruskan keperluan persekolahan anak-anak serta mengeratkan silaturahim sesama masyarakat.
Program kali kedua itu dijalankan dengan kolaborasi rakan strategik Yayasan Pahang iaitu Giatmara Sungai Soi, Kuantan, Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturahim Pahang (Ukhwah) serta Pasaraya Ten Ten yang menyediakan baucar baju dan peralatan sekolah bernilai RM100 kepada setiap pelajar.
0 comments:
Post a Comment