KENYATAAN MEDIA
DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2019, Kerajaan Negeri meluluskan
kawasan seluas kira-kira 127.893 hektar di Sungai Yu, Mukim Batu Yon, Lipis
sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) demi melindungi hidupan liar termasuk
Harimau Malaya.
Dengan ini, ia akan dapat menghubungkannya dengan HSK-HSK
sedia ada iaitu HSK Ulu Jelai dan HSK Tanum, seterusnya membentuk apa yang
dikenali sebagai Koridor Ekologi di bawah Pelan Induk Ekologi (CFS 1) yang
terlibat secara langsung dengan rangkaian ‘Central Forest Spine’ (CFS).
Keputusan ‘mesra-alam’ dan ‘mesra-hidupan liar’ ini dibuat
pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang saya pengerusikan pagi Rabu,
27 November di Wisma Sri Pahang di sini.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju menutup Jalan
Lama Sungai Yu sepanjang kira-kira 5.2 KM di situ, serta merizabkan Tanah
Kerajaan seluas kira-kira 2.05 hektar sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan
dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang.
Mengenai penutupan Jalan Lama Sungai Yu, ia wajar kerana
jalan ini sudah jarang digunakan penduduk kampung berkenaan berikutan siapnya
‘Central Spine Road’ di kawasan itu.
Kalaupun Jalan Lama Sungai Yu ini digunakan, ia hanya
sebagai jalan alternatif untuk mereka ke kebun-kebun masing-masing.
Penutupannya juga wajar berdasarkan cadangan oleh Perikatan
Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) – sebuah gabungan badan-badan bukan
Kerajaan melibatkan Malaysian Nature Society (MNS), Traffic South East Asia,
Wildlife Conservation Society-Malaysia Programme dan World Wildlife Fund
(WWF)-Malaysia.
MYCAT memaklumkan bahawa, terdapat laporan menyatakan
pemburu haram, penceroboh tanah dan pembalak haram menggunakan Jalan Lama
Sungai Yu untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tidak sihat mereka.
Dengan penutupan Jalan Lama Sungai Yu dapat menghindarkan
kemasukan secara mudah oleh pemburu haram, penceroboh hutan dan pembalak haram
ke kawasan hutan bersebelahan ‘Eco-Viaduct’ – projek Kerajaan Persekutuan
bernilai RM 60 juta di situ.
Menurut MYCAT, memang terdapat bukti bahawa harimau belang –
Harimau Malaya, serta hidupan liar lain menggunakan ‘Eco-Viaduct’ ini dalam
tempoh antara Februari dan April lepas (2019) yang menjadi sasaran bagi
pemburu-pemburu haram.
Oleh itu tepatlah keputusan Kerajaan Negeri ini yang
dengannya juga, membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri bagi menjayakan
Pelan Induk CFS yang dihasilkan menurut keperluan harimau belang yang
memerlukan landskap hutan yang luas dan bersambung, terutamanya di Pahang.
Mengenai keputusan merizabkan Tanah Kerajaan seluas
kira-kira 2.05 hektar sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti
CFS Negeri Pahang, ia melibatkan Taman Rekreasi Sungai Yu sedia ada.
Keputusan ini dibuat memandangkan kemudahan asas yang
terdapat di Taman Rekreasi Sungai Yu telahpun uzur selain tahap kebersihannya
kurang memuaskan akibat daripada peningkatan jumlah pelawat pada hujung minggu
dan musim cuti sekolah.
Dengan menjadikan Taman Rekreasi ini sebagai Pusat
Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang akan dapat
memberi peluang kepada para penyelidik – dalam dan luar negara, untuk membuat
penyelidikan berkaitan hutan serta flora dan fauna negeri ini.
Menerusinya juga, kerja-kerja menguruskan koridor ekologi
CFS Negeri Pahang dapat dilakukan dengan lebih cekap termasuk aspek kewangan,
menerusi fi penyelidikan yang bakal dikenakan.
DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
0 comments:
Post a Comment