Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 28, 2019

ABU MAYAT MENDIANG CHIN PENG: KERAJAAN DITUNTUT BERI PENJELASAN






Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mesti membuat penjelasan kedudukan sebenar siapa, bila dan bagaimana abu mayat mendiang Chin Peng boleh dibawa pulang ke Malaysia.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata penjelasan itu penting untuk direkod dan bagi pengetahuan rakyat setelah difahamkan abu mayat mendiang Chin Peng telah dibawa balik dan di tabur ke laut Lumut dan Hutan Banjaran Titiwangsa.

“Kita bimbang fahaman komunis akan menular semula di negara ini dan kita mesti menghalangnya.

“Sekadar menafikan dan memberikan alasan tidak tahu abu mayat mendiang dibawa pulang tidak memadai kepada rakyat”, katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Justeru tegas beliau sangat malang kerana dilihat bahawa Kerajaan PH bukan sahaja tidak menghargai perjuangan perajurit menentang pengganas komunis, malah seolah-olah mengizinkan pengiktirafan diberikan kepada mereka.

“Sebab itu, kenyataan beberapa pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), berkaitan perkara ini sangat mendukacitakan dan tidak menyakinkan,” ujarnya.

Perlu ditegaskan tambah Dr Shamsul tidak harus ada sebarang percubaan dalam apa juga bentuk oleh sesiapa juga yang boleh ditafsirkan sebagai usaha menghidupkan atau menyemarakkan semula fahaman serta ideologi yang pernah diperjuangkan mendiang serta mereka yang sealiran dengan beliau.

Perkara seumpama ini tambahnya lagi sangat jelas bertentangan dengan Rukun Negara, khasnya Keluhuran Perlembagaan Dan Kedaulatan Undang-Undang.

“Mesti difahami, perjuangan Komunis di negara ini telah menyebabkan pelbagai penderitaan dihadapi oleh rakyat terutama perajurit negara dan juga orang awam. Bukan sahaja orang Melayu , tetapi juga India dan Cina serta kaum-kaum lain di Semenanjung Malaysia termasuk di Sarawak.

“Kita mesti sensitif. Ramai mangsa kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) pimpinan mendiang yang ketika itu adalah Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) dan ada yang menerima kesan sehingga hari ini. Semua ini perlu diambil kira”, katanya.

Oleh itu tegas beliau sensitiviti rakyat Malaysia yang menolak fahaman dan ideologi komunis di negara ini mesti difahami.

“Semua sedia maklum bahawa Kabinet ketika Kerajaan BN telah membuat keputusan ianya tidak boleh dibawa pulang.

“Pendirian UMNO kekal tidak bersetuju mendiang dibawa pulang ke Malaysia,” ujarnya.


0 comments:

share2