Adalah amat tidak wajar bagi 16 pemimpin India Dap dan PKR yang diketuai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy, dalam kenyataan bersama mereka mengkritik penangkapan tujuh individu termasuk dua pemimpin besar Dap bertaraf Exco dan ADUN, yang cuba menyamakan perjuangan Kumpulan Pengganas Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dengan perjuangan rakyat Palestin dan Rohingya yang ditindas dan dizalimi di tanahair mereka sendiri.
Demikian bidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, mana mungkin kumpulan pengganas LTTE ini boleh dianggap sebagai pejuang kebebasan sedangkan seluruh dunia telah mengklasifikasikan mereka sebagai pengganas atau teroris.
“Dunia telah menyaksikan keganasan LTTE yang telah melancarkan serangan gerila dan menggunakan pengebom berani mati terhadap orang awam sejak ditubuhkan tahun 1976 lagi. Malah salah satu serangan menyayat hati yang dilancarkan oleh LTTE termasuklah serangan ke atas Masjid Kattankudy pada 3 Ogos 1990,” kata beliau dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.
Jelas beliau, dalam peristiwa itu kira-kira 30 orang militan LTTE lengkap bersenjata telah menyerang empat buah masjid di Kattankudy ketika jemaah sedang menunaikan Solat Isyak yang menyebabkan tidak kurang dari 147 orang telah terkorban dari lebih 300 orang jemaah yang sedang solat Isyak.
“Apakah ini dianggap sebagai pejuang kebebasan?
“Justeru wahai pemimpin-pemimpin Dap dan PKR, tindakan kalian menyamakan kumpulan pengganas dan terroris LTTE ini dengan perjuangan rakyat Palestin dan Rohingya yang dizalimi adalah satu yang tidak wajar bahkan merupakan satu penghinaan.”
Sepatutnya tegas beliau, sebagai pemimpin kerajaan, kalian patut mengajak rakyat agar menghormati proses undang-undang atau Rule of Law yang sering dicanang-canangkan dengan membiarkan pihak polis melaksanakan tugas mereka dan bukannya mengkritik dan mempertikaikan tindakan yang dilakukan demi kesejahteraan rakyat majoriti di negara ini.
0 comments:
Post a Comment