Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 13, 2019

AGONG MAHU HUBUNGAN ERAT MALAYSIA-ARAB SAUDI KEKAL



MADINAH, 13.6.2019 : Hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi yang dijalin sejak sekian lama diharap dapat dikekalkan bagi meneruskan kesejahteraan kedua-dua negara, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.


Sultan Abdullah berkata, keakraban kedua-dua negara sejak sekian lama itu terbukti dengan kerjasama yang telah dijalin dan dikembangkan dalam pelbagai bidang yang memberikan keuntungan kepada kedua-dua negara.


“Kehadiran saya di sini diundang pemerintah Arab Saudi, saya mengucapkan terima kasih atas undangan ini. Mudah-mudahan dengan kehadiran saya ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di antara kedua-dua kerajaan berdaulat.


“Banyak persamaan dan banyak juga yang perlu kita terokai pada masa akan datang bagi kedua-dua pihak menjamin kesejahteraan rakyat serta kedua-dua negara,” titah Sultan Abdullah.


Sultan Abdullah berkata sedemikian pada majlis Minum Teh Bersama Rakyat Malaysia di sini semalam disertai Tengku Amir Nasser Ibni Sultan Abdullah.


Turut hadir Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi Ahmad Irham Ikmal Hisham, Ketua Rombongan Haji Malaysia Lembaga Tabung Haji (TH) Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan kira-kira 200 rakyat Malaysia yang terdiri daripada jemaah haji, pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di sini.


Sultan Abdullah berkata, rakyat Malaysia yang berada di luar negara diharap dapat menjadi duta kecil berjiwa besar, berhati besar, serta niat dan pemikiran besar untuk menaikkan nama negara dan mengeratkan silaturrahim dengan negara luar.


“Orang yang tinggal di sini (Arab Saudi) juga saya harap dapat menjadi wakil kepada negara dengan penuh disiplin dan integriti. Dengan ini tuan puan dapat membuat satu ibadah untuk negara serta agama kita.


“Kita telah memanjangkan silaturrahim sesama Islam dan sudah tentu ini mencerminkan negara kita punyai rakyat cukup baik hati, ramah dan cukup ikhlas untuk kita hidup dalam harmoni dan penuh kesejahteraan,” katanya.


Sultan Abdullah berangkat ke Arab Saudi sempena lawatan khas ke negara itu bermula hari ini hingga 14 Julai atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.


Seramai 30,200 jemaah haji mengerjakan rukun Islam ke-5 itu pada musim haji tahun ini dibantu 640 petugas TH.


Sumber: BERNAMA

0 comments:

share2