Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 13, 2016

PROJEK SUNGAI KEMAMAN MAMPU ATASI BANJIR

Banjir



KEMAMAN - Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu di Sungai Kemaman mampu mengurangkan pemindahan seramai 70,000 orang mangsa banjir menjelang 2020.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri berkata projek dengan peruntukan RM300 juta itu juga dijangka mengurangkan keluasan kawasan banjir seluas 125 kilometer persegi pada tahun yang sama.

"Projek itu bertujuan mengurangkan masalah banjir akibat limpahan sungai ketika hujan lebat terutama pada musim tengkujuh, meningkatkan tahap perlindungan banjir dan mengurangkan kerosakan harta benda awam dan penduduk," katanya pada sidang media selepas melawat Kampung Bukit Mentuk di sini, hari ini.

Bukit Mentuk adalah satu daripada kawasan yang sering dilanda banjir.

Selain itu, Ir Hamim berkata skop projek itu merangkumi pengambilan balik tanah seluas 80 hektar (Ha), lencongan banjir dari Sungai Kemaman ke Sungai Chukai (10.3 kilometer (km)), ban Binjai dari Paman ke jambatan Bukit Kuang (12 km) dan dua jambatan merentasi lencongan banjir iaitu Chukai-Air Putih dan Chukai-Ibok.

Ia juga melibatkan lima buah kolam takungan dan pembangunan ban Sungai Kemaman sepanjang 28km dan saliran zon bandar.

"Projek ini bagi mengatasi masalah terputus hubungan jalan utama antara bandar Chukai dan Exit Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Melindungi keselamatan nyawa dan kemusnahan harta benda dan meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk," katanya.

Ir Hamim berkata, projek itu juga akan melindungi kilang dan industri sensitif kerana bandar Chukai, yang terletak di tebing hilir Sungai Kemaman dan Sungai Chukai, merupakan pusat pentdbiran, komersil dan industri berasaskan gas dan petroleum.

"Setiap tahun, Bandar Chukai dilanda banjir akibat limpahan air sungai Kemaman yang merupakan sungai utama dengan kawasan tadahan seluas 1,620 km persegi sehingga melimpahi kawasan perumahan, sekolah, sebahagian pusat komersil, industri dan pelancongan.

"Banjir yang sering melanda menyebabkan kemusnahan harta benda persendirian dan kerajaan...ia juga memutuskan hubungan jalan-jalan utama seperti jalan Chukai-Air Puteh serta laluan susur keluar Chukai-LPT2," kata beliau. 


Sumber Bernama


0 comments:

share2