Adalah sesuatu yang amat mengecewakan rakyat apabila sebuah kerajaan yang digambarkan sebagai cekap dan mampu membawa obor Malaysia Baharu dibelenggu dengan budaya ‘kepalsuan’ yang berterusan, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Nainan Merican.
Katanya, ini bermula dengan banyaknya ‘janji palsu’ yang menipu dan membohongi rakyat.
“Manifesto dijadikan dokumen rasmi pembohongan kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kemudiannya, kita dihidangkan dengan ‘kepalsuan sijil dan latar belakang pendidikan’. Tanpa sesal, aib dan malu mereka memohon maaf kerana menipu rakyat sesuka hati,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas.
Terbaru, katanya, ‘laporan palsu’ pula dijadikan trend dan penyakit baru oleh pemimpin PH.
“Cukup sayang, pemalsuan dan penipuan ini dilakukan pemimpin muda yang digambarkan sebagai masa depan Malaysia.
“Khas buat YB Syed Saddiq, jauh beza antara ‘mencekak leher’ dengan ‘meletakkan tangan di atas bahu’. Cukup-cukuplah bersandiwara untuk menutup kelemahan.
“Mungkin ada pepatah Inggeris, ‘remaining childish is a tremendous state of innocence’, tetapi Saudara sudah menjadi pemimpin.”
Tegasnya, kita tidak mahu ada ‘pemimpin palsu’.
“Tinggalkan segera mindset ‘kebudak-budakan’ itu. Elok tarik balik laporan itu sebelum anda lebih memalukan diri sendiri,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook beliau dengan di hujung catatannya menyertakan ungkapan “Jamil…oh…Jamil” merujuk kepada watak P.Ramlee dalam filem Madu Tiga yang penuh dengan penipuan.
Sabtu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa beliau dicekik pada bahagian leher oleh seorang individu dan diserang semasa menghadiri proses penamaan calon di Semenyih.
Berikutan insiden itu, Syed Saddiq telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya.
0 comments:
Post a Comment