Desakan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengguna atau pemilik akaun Facebook yang biadab menghina Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang baru dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 semakin memuncak.
Terbaharu, desakan itu disuarakan kerajaan negeri yang mahu individu yang terlibat menghina institusi raja dihukum segera.
Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya memandang serius terhadap perkara berkenaan sepertimana yang berlaku dalam laman sosial Facebook.
“Ternyata penghinaan yang dilakukan ini bukan sahaja biadab pada tahap paling buruk, malah pengkhianat kepada kedaulatan institusi raja-raja.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil tindakan tegas dan segera kepada si pelaku salah, sebagai tindak balas kepada laporan-laporan polis yang dibuat berkaitannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan kerajaan termasuk Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook menggunakan nama Desmond Yongkor kerana menghina Sultan Abdullah menerusi laman sosial berkenaan.
Menurut Wan Rosdy, dalam hal berkenaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diharap dapat turut membantu menjejaki pemilik akaun Facebook berkenaan serta menggunakan segala kuasa yang ada padanya untuk menghukum pelaku.
“Untuk jangka panjang pula, kerajaan negeri mencadangkan agar undang-undang khusus dan lebih berat sepertimana undang-undang Les Majeste di Thailand mula dibincang secara serius untuk akhirnya diperkenalkan di negara ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment