Kuantan, - Dua
puluh badan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan badan politik di daerah
ini membuat laporan polis berhubung kenyataan seorang pengguna laman sosial
yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Kadi Daerah Kuantan Abdul Zaki Md Zain
berkata laporan itu dibuat terhadap pengguna Facebook yang menggunakan nama
akaun Desmond Yongkor yang didakwa telah memuat naik gambar bersama kenyataan
menghina Sultan Abdullah.
Katanya, antara pihak yang membuat laporan
hari ini ialah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Badan Kebajikan
Kerabat-kerabat Pahang, Gerakan Anak Melayu Pahang, Malaysia Relief Agency
Pahang, Persatuan Kaum Kochow Kuantan, Persatuan Penghulu-penghulu Pahang,
serta Gabungan UMNO Kuantan.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku
kerana sebagai rakyat, kita perlu lebih beretika dalam mengeluarkan sebarang kenyataan
apatah lagi yang merendahkan Sultan Abdullah yang diketahui amat rapat dengan
rakyat.
“Laporan ini juga bagi mempertahankan
Sultan yang menjadi tonggak agama, bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui
pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Kuantan di sini, hari ini.
Abdul Zaki menambah hampir 100 masjid di
daerah ini juga diminta membuat laporan polis berkaitan perkara itu.
Wakil NGO, Mohd Sahril Abdullah yang juga
Ketua Penerangan UMNO Kuantan menyifatkan penghinaan kepada ketua negara
sebagai satu tindakan yang melampaui batas.
“Kami mahu supaya siasatan kes ini
disegerakan supaya tindakan sewajarnya dapat dilakukan ke atas pemilik akaun
berkenaan.
“Kita tidak mahu pelaku berkenaan hanya
membuat permohonan maaf sahaja tetapi diharap dia dikenakan hukuman yang berat
bagi memberi pengajaran kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan
ACP Mohamad Noor Yusof Ali memberi jaminan siasatan untuk mengenal pasti
pemilik sebenar akaun Facebook itu akan dilakukan segera.
“Kita juga akan bekerjasama dengan beberapa
pihak lain seperti Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan merujuk
kepada Bukit Aman dalam kes ini,” katanya.
Mohamad Noor juga memberi nasihat kepada
orang ramai supaya tidak mencuba atau berniat untuk melakukan perbuatan
menghina dan melakukan provokasi kepada institusi beraja terutamanya melibatkan
Yang di-Pertuan Agong.
-- SUMBER
0 comments:
Post a Comment