Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 24, 2019

[LIPIS] TAMBAHAN 153 LOT RUMAH UNTUK GENERASI KEDUA FELDA SUNGAI KOYAN





Kerajaan Negeri hari ini, meluluskan tambahan lagi 153 lot rumah bagi memenuhi permintaan perumahan generasi kedua di Rancangan Tanah-Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan di sini.

Tambahan ini menurut Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, ialah bagi memenuhi permintaan lot-lot rumah generasi kedua di Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan 1 pula.

Pada 9 Januari lepas, beliau telah mengumumkan kelulusan lot-lot rumah generasi kedua untuk Rancangan Tanah-Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan 2 dan 3 sebanyak 223 lot tetapi kini – ekoran masalah tertentu, menjadi 210 lot.

Ketika itu, semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri dan Bantuan Khas Sekolah Rendah di Laman Sejahtera dekat sini, beliau telah mengatakan bahawa, lot-lot rumah generasi kedua untuk Rancangan Tanah Felda Koyan 1 adalah dalam proses untuk kelulusan juga.

“Dan hari ini sahaja, baru diangkat kepada Exco dan kita telah meluluskan sebanyak 153 lot hari ini,” katanya merujuk kepada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri di Pejabat Daerah dan Tanah Lipis di Kuala Lipis pagi semalam. 


STESEN MINYAK PETRONAS... 



LOT RUMAH GENERASI KEDUA DI KESEMUA TIGA RANCANGAN TANAH FELDA SUNGAI KOYAN 

“Maknanya Koyan 2, Koyan 3, Koyan 1; semua ada peluang untuk generasi kedua mendapatkan tapak-tapak lot untuk dibuat perumahan,” katanya pada persidangan media petang Rabu, 23 Januari di sini.

“Jadi, mengatakan diskriminasi dan sebagainya itu adalah tidak betul. Dan bagi saya, tidak ada asas yang kukuhlah untuk mereka berkata demikian,”katanya lagi merujuk kepada perkara yang dibangkitkan oleh wartawan.

Menurutnya, usaha bagi meluluskan lot-lot rumah generasi kedua ini ialah alternatif kepada masalah-masalah teknikal yang dihadapi dalam menjayakan perumahan-perumahan generasi kedua di ketiga-tiga Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan.

Perumahan-perumahan itu telahpun dibina di ketiga-tiga Rancangan Tanah tersebut namun terbengkalai yang menurutnya, adalah di luar keupayaannya untuk mengatasinya.

Ekoran itulah katanya, beliau berbincang dengan rakan-rakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri khususnya yang berkaitan Felda lalu cadangan dibuat dan diluluskan pemberian lot-lot rumah tersebut.


MESIN ATM AGROBANK SEDANG DIUSAHAKAN

Dato’ Sri Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Negeri kawasan Jelai ini, turut diajukan rungutan oleh sesetengah penduduk di sini yang meminta agar tindakan diambil untuk menambahkan lagi mesin ATM (Automated Teller Machine) dan CDM (Cash Depository Machine) di Sungai Koyan ini. 

Setakat ini, menurut rungutan tersebut, kemudahan-kemudahan mesin-mesin ini cuma disediakan oleh sebuah bank – Bank Rakyat, dan terdapat di Stesen Minyak Petronas yang berhampiran sahaja.

“Yang Bank Rakyatpun kita telah dapat hasil daripada rungutan orangramai juga. Dan sekarang ini, AgroBank dalam usaha, kita sedang berusaha untuk mendapatkan satu lagi (mesin) ATM.

“Tapi malangnya, tak sempatlah sekarang ini. Yang itu akan diusahakan, InsyaAllah,” katanya. 


0 comments:

share2