Walaupun mempunyai masalah sendi pada kedua belah kaki, seorang bapa di Felda Jengka 24 di sini, tidak pernah menjadikan kesakitan dialaminya itu alasan untuk mengabaikan seorang anak dan cucu.
Malah Suraji Ahmad, 71, yang mempunyai pergerakan terhad terus tabah menjaga kedua-duanya darah dagingnya juga orang kurang upaya (OKU) itu.
Bapa kepada enam anak itu bagaimanapun bersyukur kerana tidak keseorangan apabila urusan keluarga dibantu isterinya Roaisah Saharudin, 72 dan anak bongsu yang tinggal bersama mereka.
Suraji berkata, anaknya Tukiah Suraji, 50 mempunyai masalah mental manakala cucunya yang juga anak Tukiah, Samsudin Saidin, 32, mengalami kecacatan bisu.
“Saya mula menghidap masalah sendi sejak kira-kira lima tahun lepas. Tapi Tukinah juga anak sulung saya mengalami masalah kesihatan mental sejak melahirkan anaknya yang ketiga yang sekarang sudah berusia belasan tahun.
“Kami sekeluarga tinggal berlima dalam rumah ini. Anak-anak dan cucu yang lain sudah pun berkahwin. Duit hasil kerja sebagai peneroka selain diberikan anak-anak tu saya gunakan untuk perbelanjaan harian kami sekeluarga di rumah ini," katanya.
Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris pada program Ziarah Kasih Felda Jengka 24, kelmarin.
Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dengan kerjasama Pejabat Felda Jengka 24, Gerakan Persatuan Wanita (GPW) dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Jengka 24 itu turut dihadiri Pengurus Felda, Mohd Tamrin Zakaria dan Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Atib Rashid.
Dalam kunjungan itu, Ahmad Nazlan menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan wang tunai bagi meringankan beban keluarga Suraji.
Ahmad Nazlan turut berkunjung ke sembilan buah rumah lain dan memberi sumbangan sama.
0 comments:
Post a Comment