SIAPA yang tidak marah dan siapa yang tidak geram apabila janji yang beriya-iya ditaburkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) berkenaan isu pemansuhan kutipan tol lebuh raya.
Iyalah, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada bulan lalu semuanya main rembat tabur janji ikut suka hati bagi menarik sokongan pengundi sekali gus mengalahkan calon lawannya.
Ini termasuklah janji manis yang pernah dibuat oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam dan kini merupakan Menteri Pendidikan baharu, Dr. Maszlee Malek menerusi laman Facebook (FB).
Dalam status FB-nya pada 22 April lepas, beliau dengan nada yakin mengatakan konon bahawa tiada kutipan tol ke Simpang Rengam sama ada dari arah Sungai Besi, Skudai atau Ayer Keroh.
Malah beliau dengan perasaan bangga turut mencabar rakyat marhaen supaya menuntut semula janji berkenaan selepas PH berjaya memenangi PRU ke-14 pada 9 Mei lalu.
“Hari Raya selepas ini jika pulang ke Simpang Renggam dari Kuala Lumpur sudah tidak perlu membayar RM71 pergi balik.
“Tiada kutipan Tol dan harga minyak yang murah merupakan janji kami. Tuntut Janji ini dari kami selepas Pakatan Harapan menang,” tulisnya menerusi akaun FB Maszlee Malek for Simpang Renggam.
Tambah Maszlee, beliau turut menunjukkan jumlah bayaran tol yang perlu dibayar daripada ketiga-tiga laluan itu dan ia sudah semestinya memberikan kenangan pahit kepada pemandu.
“Membayar tol akan menjadi kenangan pahit yang pastinya tidak akan dilupakan. Perjalanan anda selepas ini akan lebih bertambah meriah dengan gelak tawa,”katanya lagi.
Jadi persoalan cepumasnya, adakah sudah tercapai hasrat rakyat Johor terutama pengundi kerusi Simpang Renggam untuk merasa tol percuma?
Takkanlah seorang yang agak warak dan kebetulan berjawatan Menteri Pendidikan sanggup berbohong kepada orang ramai pula kan…
Namun hakikat di depan mata janji untuk pancing undi itu masih belum tertunai sekalipun Kerajaan PH sudah memerintah lebih daripada 30 hari.
Di media sosial pula, ramai yang tertanya-tanya di mana agaknya hendak menuntut janji itu seperti yang ditaburkan Maszlee melalui laman sosialnya.
Jadi adakah PH harus membuka kaunter aduan khas atau pusat khidmat untuk kemudahan penyaluran tuntutan agar mereka segera menunaikan janji?
Serta mana agaknya Menteri Pendidikan ini hendak sorok mukanya daripada pandangan rakyat di kawasan parlimennya, selain ribuan guru di bawah pentadbirannya dan jutaan pelajar di seluruh negara?
Tidak dinafikan, dengan memansuhkan kutipan tol ia akan mengurangkan beban hidup rakyat lebih-lebih lagi buat mereka yang tinggal di ibu negara di mana banyak tol digunakan secara harian.
Namun, perlu dingat, pemansuhan tol ini dianggap sebagai pelaburan besar untuk negara memandangkan ia melibatkan syarikat konsesi lebuh raya serta pemegang saham terlibat.
Seperti yang diketahui, pemansuhan tol bukanlah satu perkara boleh dilakukan terus oleh kerana pelaksanaannya memerlukan kajian yang menyeluruh dari semua peringkat.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak juga pernah menyampaikan hasrat untuk mansuh tol secara berperingkat walaupun rata-rata rakyat mahu dibuat serta-merta.
0 comments:
Post a Comment