Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 4, 2018

[JERANTUT] BAYI DERITA PELBAGAI PENYAKIT



Bayi derita pelbagai penyakit




Jantung berlubang, masalah paru-paru kronik, saiz tulang rusuk dan tulang belakang tidak sekata, tiada tulang paha kanan, tulang paha kiri terlalu pendek, kaki bengkok, jari tangan tidak normal dan sumbing lelangit.

Itu penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh si kecil yang baharu berusia tujuh bulan, Siti Nur Jannah Humaira Ahmad Zainuddin yang disahkan menghidap pelbagai penyakit sejak lahir.

Lebih menyedihkan apabila bayi berkenaan terpaksa bergantung kepada bantuan oksigen untuk bernafas selain minum susu khas yang diberi melalui tiub.

Ibu bayi terbabit, Siti Nur Zurain Fatima Ab Razak, 30, berkata, sebaik Siti Nur Jannah dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, bayinya telah ditempatkan di ‘neonatal intensive care unit’ (NICU) selama empat bulan sebelum dipindahkan ke wad biasa selama dua bulan.

Menurutnya, kira-kira sebulan yang lalu doktor telah membenarkan anak bongsu dari tiga beradik itu pulang ke rumah namun memerlukan rawatan lanjut dan perhatian yang rapi.

“Sepanjang saya mengandungkan Jannah tidak timbul sebarang masalah malah sewaktu ‘scan’ perut pun doktor maklumkan bayi saya normal.

“Namun sebaik dilahirkan, saya dimaklumkan oleh doktor mengenai masalah yang dihidapi oleh Jannah. Biarpun sedih tapi saya reda dengan ujian dari ALLAH dan berjanji akan menjaganya sebaik mungkin,” katanya.

Siti Nur Zurain berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada Adun Tahan yang juga Ketua Penerangan Pas Kawasan Jerantut, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin di rumahnya dekat Perumahan Banjir Kuala Teh di sini, semalam.

Sempena kunjungan itu Mohd Zakhwan turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga bayi malang tersebut.

Siti Nur Zurain berkata, selain Siti Nur Jannah yang menghidap pelbagai penyakit, anak sulungnya, Ahmad Adi Putra, 9, yang juga murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Teh turut pernah menghidapi masalah jantung berlubang.

Tambahnya, Ahmad Adi Putra telah menjalani dua kali pembedahan bagi menutup lubang jantung iaitu ketika berusia tiga bulan dan tiga tahun.

Jelasnya, lebih sukar lagi apabila suaminya, Ahmad Zainuddin Abdul Rahman, 44, turut disahkan mengalami masalah saraf tulang belakang bermula tahun lepas yang menyebabkannya tidak mampu melakukan kerja-kerja berat.

“Suami hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak seberapa, ditambah dengan penyakit saraf tulang belakang yang dihidapi menyebabkan pergerakannya agak terbatas.

“Perbelanjaan yang besar terpaksa ditanggung kami termasuk membeli susu khas Jannah yang berharga RM80 setin, perbelanjaan persekolahan dua anak serta kos ulang-alik membawa anak sulung serta bongsu ke Hoshas dan Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur untuk rawatan susulan.

“Saya juga merancang untuk beli sendiri tabung oksigen untuk kegunaan Jannah namun difahamkan harganya agak mahal ditambah dengan kekangan sumber kewangan. Buat masa sekarang unit kebajikan Hoshas Temerloh meminjamkan buat sementara waktu tong oksigen untuk kegunaan anak saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Siti Nur Jannah Humaira boleh menyumbang menerusi akaun Bank Islam milik Siti Nur Zurain Fatima 06055020344689 atau hubunginya 013-9464473.


0 comments:

share2