Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 8, 2017

MONSON TIMUR LAUT BERMULA MINGGU DEPAN

Jabatan Meteorologi Malaysia




KUALA LUMPUR - Monsun Timur Laut dijangka berlaku mulai minggu depan sehingga Mac 2018 yang mengakibatkan empat hingga lima episod hujan di Kelantan, Terengganu, Pahang, timur Johor dan di barat Sarawak.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Alui Bahari berkata keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan yang cenderung banjir dan kawasan rendah.

“Amaran awal bagi episod hujan lebat semasa Monsun Timur Laut akan dikeluarkan seawal satu hingga tiga hari manakala amaran ribut petir akan dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda intensiti ribut petir semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, katanya, negara sedang mengalami peralihan monsun dan dijangka berlaku sehingga pertengahan November.

"Semasa fasa ini, kejadian hujan lebat dan ribut petir setempat dalam jangka masa singkat serta angin kencang lebih kerap berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri Pantai Barat, Utara, pedalaman Semenanjung, Pantai barat Sabah serta kawasan Barat dan bahagian tengah Sarawak,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar peka dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan jabatan itu dan mematuhi garis panduan keselamatan.

Orang ramai diminta merujuk laman web jabatan itu atau aplikasi telefon pintar myCuaca bagi mendapatkan maklumat terbaru yang dikemaskini setiap hari.

Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak menularkan mesej yang belum disahkan berhubung keadaan cuaca. - Bernama




0 comments:

share2