Lukisan mural didinding bangunan Bandar Lama Jerantut berjaya mencuri perhatian penduduk setempat untuk berkunjung dan mengabadikan kenangan di situ.
Sebanyak 14 mural lukisan berkonsepkan keunikan Jerantut, semangat patriotik dan sejarah itu dilukis seminggu lalu bersempena pertandingan melukis mural program Moh Lawokan Bandor Kite, 29 Oktober lalu.
Menerusi tinjauan dilakukan Sinar Harian semalam, mendapati beberapa warga daerah ini bersiar dan mengambil gambar berlatarbelakangkan mural yang dilukis terbabit.
Antara pengunjung termasuklah tiga sekawan yang datang dari Jerantut Feri, Muhammad Hanif Aiman Mohd Nasir,18, Junaidi Yusuf, 25 dan Muhammad Safwan Kholid, 18.
Muhammad Safwan berkata, itu merupakan kunjungan kali keduanya lokasi lukisan mural terbabit di mana kali pertama dia datang adalah ketika waktu malam.
“Saya datang waktu malam untuk melihat lukisan mural di sini tapi tidak berpeluang untuk mengambil gambar kerana suasana yang agak gelap. Kali ini saya datang bersama kawan-kawan yang lain untuk mengambil gambar yang lebih cantik berlatarbelakangkan lukisan mural yang ada di sini,” katanya.
Bagi Muhammad Hanif pula, dia melahirkan rasa kagum dengan setiap lukisan yang dipamerkan terutamanya lukisan pahlawan seperti Mat Kilau dan Pawang Nong.
“Jika tidak ada lukisan seumpama ini mungkin golongan muda seperti kami tidak mengenali siapa itu Mat Kilau dan Pawang Nong. Kita mungkin biasa mengenali nama pahlawan ini namun tidak mengenali raut wajah mereka. Menerusi lukisan ini, dapatlah kita mengenali siapa pahlawan yang memperjuangkan kemerdekaan buat negara kita,” katanya.
Junaidi pula berkata, lukisan mural didinding bangunan Bandar Lama Jerantut boleh menjadi sesuatu yang menarik sekali gus menjadi daya tarikan buat pengunjung untuk ke daerah ini.
“Jika orang tanya apa yang menarik tentang Jerantut, selain keindahan flora fauna yang ada di Taman Negara Kuala Tahan dan tempat lain, kita ada lukisan mural yang cantik untuk dikunjungi,” katanya.
Tambahnya, dia juga mencadangkan agar lorong bangunan dipenuhi lukisan mural itu diberikan nama khas bagi memudahkan ia dikenali orang ramai sekali gus memudahkan penduduk daerah ini mempromosikannya kepada orang luar.
Pertandingan melukis mural anjuran Majlis Kebudayaan Daerah (MKD) Jerantut dengan kerjasama Majlis Daerah Jerantut (MDJ) itu diadakan minggu lalu itu bertujuan memupuk rasa cintakan karya seni jalanan.
Pengerusi MKD, Datuk Tengku Nor Asmaliza Ku Lah berkata, memandangkan banyak ruang kawasan dinding tembok atau bahagian terbiar kosong, MKD Jerantut menganjurkan program itu demi menceriakan bandar ini dengan mural.
0 comments:
Post a Comment