Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 6, 2017

[ROMPIN] TAK MENYESAL PILIH MESIN JAHIT


Tak menyesal pilih mesin jahit


Jika remaja sebayanya kini leka dengan pelbagai jenis gajet atau menunggang motosikal di jalanan, seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemok di sini, memilih mesin jahit bagi menghabiskan masa lapangnya.

Berasal dari Kampung Sarang Tiong, Khairul Amir Nor Azhar, 16, mengakui mula belajar menjahit sejak usianya 14 tahun dengan emaknya, Patimah Yatim, 52, di rumah.

Menurutnya, ketika itu dia sudah boleh menjahit untuk baiki baju sekolah atau seluar terutama daripada rakan-rakan sekolah.

Bagaimanapun, selepas peperiksaan PT3 tahun lalu dia merasakan mahu belajar lebih lagi ilmu menjahit dan meminta ayahnya, Nor Azhar Ibrahim, 52, bertanya dengan mana-mana kedai jahit berhampiran.

Banyak kemahiran menjahit yang dipelajari Khairul Amir hasil tunjuk ajar Sani (berdiri).


“Ayah pergi tanya beberapa kedai tapi mereka tak nak ambil atas alasan saya masih amat muda. Selepas itu ayah cuba tanya dengan abang Sani tak sangka pula dia setuju. Rupanya dia memang suka nak ajar orang menjahit dan peluang ini saya manfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Menurut Khairul Amir, selepas dia mahir, ibu bapanya membelikannya mesin jahit dan dia mula mengambil upah menjahit di rumah.

“Pendapatan agak memuaskan terutama pada musim perayaan, ramai orang kampung hantar untuk baiki seluar jean dan pakaian raya,” katanya.
Ibu bapa sokong minat

Dia turut menzahirkan rasa syukur kerana kedua ibu bapanya tidak menghalang minatnya itu sebaliknya memberi sokongan.

Ia terbukti apabila permintaannya untuk membeli sebuah mesin jahit ditunaikan ibunya walaupun pada awalnya ibunya menawarkannya sebuah motosikal.

“Selepas keputusan PT3 keluar emak tanya nak motosikal ke? Saya kata daripada beli motor baik beli mesin jahit dan emak serta ayah turutkan permintaan itu.

“Saya sebenarnya lebih minat menjahit daripada menunggang motosikal, lagipun motor nak kena pakai duit selain bahaya. Saya tak menyesal pilih mesin jahit sebab berbaloi. Kalau pilih motor tak datangkan hasil pun,” katanya.

Khairul Amir sedang tekun menjahit membaiki kaki seluar jeans seperti diminta oleh pelanggan.


Dalam pada itu, pemilik kedai jahit, Sani Saffar Abdul Aziz, 31, mengakui selama terlibat dengan industri menjahit tidak pernah jumpa remaja sebaya Khairul Amir yang mahu belajar menjahit.

Dia mengakui terharu ketika bapa kepada pelajarnya itu datang bertanya dengannya meminta supaya mengajarkan anaknya.

“Lepas saya setuju, masa cuti sekolah dia mula datang walaupun jarak agak jauh dari Tanjung Gemok nak ke sini, dia naik bas itu pun ada masa tertinggal bas.

“Saya juga rasa terharu sebab budak sebayanya masih leka main telefon bimbit dan motosikal, tapi dia pilih belajar menjahit, dia juga menunjukkan prestasi tinggi selalu cuba menjahit dengan lebih baik dan dengar cakap,” katanya.


0 comments:

share2