Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 6, 2017

[JENGKA] MANGSA HILANG DITEMUI MATI DALAM LUBANG BERISI MINYAK


Mangsa hilang ditemui mati dalam lubang berisi minyak


Pihak polis mengesahkan penemuan mayat seorang pemuda di dalam lubang berisi minyak adalah mayat Mohammad Badrul Amin Mat Nanyan yang dilaporkan hilang di tempat kerja beliau di Kilang Kayu Lion Vest, Bandar Jengka, di sini, 1 November lalu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mazlan Hassan berkata, ibu mangsa, Shahani Walat dari Rantau Perintis, Bandar Jengka, membuat laporan polis di Balai Bandar Pusat Jengka kira-kira jam 12.54 tengahari, hari yang sama berhubung kehilangan mangsa berusia 20 tahun itu selepas dimaklumkan mangsa hilang di tempat kerja oleh rakan anaknya.

Menurut Mazlan, Shahani diberitahu oleh rakan anaknya kali terakhir mereka melihat anaknya ketika sedang berehat lebih kurang jam 10.40 malam pada 31 Oktober.

"Apabila masa rehat telah habis dan mahu masuk semula bekerja rakan anaknya dapati bahawa Mohammad Badrul Amin tiada. Rakan-rakan telah cuba mencari di kawasan kilang namun tiada. Pengadu buat laporan polis kerana bimbang takut terjadi apa-apa yang tidak dingini berlaku.

"Sementara itu, pada 3 November lalu lebih kurang jam 1.00 pagi, anggota Pejabat Pertanyaan Balai Polis Bandar Jengka telah menerima panggilan daripada orang awam menyatakan telah jumpa satu mayat di tapak bekas mesin di dalam kawasan Kilang Lion Vest Bandar Jengka," katanya.

Mazlan berkata, pihak polis telah pergi ke tempat kejadian dan mendapati mayat telah dijumpai di dalam lubang tapak mesin pemampat kayu berukuran 20 meter persegi luas dan berkedalaman 10 meter yang dipenuhi air dan minyak.

Menurutnya, persekitaran lubang berkenaan licin dengan kesan minyak serta persekitaran yang gelap kerana zon tersebut dalam proses untuk ditutup.

"Tiada CCTV di sekitar tempat kejadian. Mangsa disyaki terjatuh ke dalam lubang berkenaan kerana lubang berkenaan berada di antara laluan pekerja untuk ke tandas dari tempat bekerja.

"Kawasan sekitar lubang berkenaan tidak dipagari dan hanya dihalang menggunakan lima palet plywood yang rosak. Temu bual dengan penyelia kilang lubang berkenaan merupakan tapak mesin pemampat kayu yang telah dikeluarkan lebih kurang seminggu lalu. Air dan minyak yang berada di dalam lubang berkenaan adalah minyak dari mesin yang dikeluarkan bercampur dengan air hujan," katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa tiada sebarang tanda amaran atau larangan kelihatan di sekitar kawasan lubang berkenaan.

Tiada sebarang unsur-unsur jenayah dikesan di tempat kejadian.

"Mayat mangsa telah dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Jengka dan telah dicam oleh keluarga mangsa sebagai orang yang dilaporkan hilang berdasarkan pakaian yang dipakai semasa kali terakhir mangsa dilihat.

"Laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Jengka juga melaporkan kematian tiada unsur jenayah," katanya.


0 comments:

share2