Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 7, 2017

ADUN BN KECEWA SPEAKER TOLAK LIMA USUL


DUN_sulaiman_razak.jpg


Shah Alam: ADUN Barisan Nasional (BN) Selangor kecewa selepas kelima-lima usul yang ingin dibentangkan mereka ditolak oleh Speaker Dewan, Hannah Yeoh semalam.

ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak yang mewakili parti itu berkata, pengurusan terbaru pada DUN kali ini dilihat langsung tidak mengamalkan sikap demokrasi khususnya kepada pembangkang selepas tidak memberikan ruang kepada mereka untuk membentangkan usul tersebut dengan alasan yang tidak munasabah.

"Kita bagi pihak BN amat dukacita dengan sikap yang ditunjukkan oleh pihak speaker kerana pada pagi ini kita menerima kelima-lima jawapan daripada speaker bahawa kelima-lima usul ini ditolak.

"Kita berasa amat sedih, kita menghantar lima dan lima-lima ditolak, tiada satu pun akan dipertimbangkan untuk dibawa ke dalam perbahasan.

"Kita kena ingat bahawa perbahasan dan usul adalah satu perkara yang berbeza sebab kita ingin ia dibawa dalam bentuk usul supaya satu perbahasan yang besar, menyeluruh daripada kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang," katanya kepada pemberita pada hari kedua sidang DUN Selangor semalam.

Terdahulu, lima usul yang dibawa oleh lima ADUN dari BN ditolak speaker dewan dengan alasan ianya boleh dibentangkan semasa sesi perbahasan, dan bukannya melalui ruangan usul-usul khas dan spesifik.

Antara usul yang telah dihantar ialah usul mengenai memperkukuh institusi mahkamah syariah, oleh Sulaiman sendiri, usul berkaitan Ikrar Bebas Rasuah oleh Datuk Shamsudin Lias (Sg. Burong), usul berhubung Yayasan Selangor oleh Datuk Abdul Shukur Idrus (Kuang), usul mengenai Oktoberfest oleh Shahrum Mohd Sharif (Dengkil), dan usul tentang lesen pusat hiburan oleh ADUN Jeram, Datuk Amiruddin Setro.

Dalam pada itu, speaker dewan, Hannah Yeoh menepis dakwaan pembangkang tersebut.

Katanya, usul berkenaan terpaksa ditolak bagi memberi laluan kepada belanjawan pada sidang DUN kali ini.

"Usul-usul yang dibawa, banyak perkara daripada usul itu boleh dibangkitkan dalam perbahasan dasar, semasa mereka bangun mereka boleh cakap, tidak perlu perhatian khas dewan, tidak perlu kita ambil masa semua ADUN untuk meneliti usul itu.

"Memang tidak timbul dakwaan kononnya speaker tidak berdemokrasi, tiada ruang untuk bahas," ujarnya.


0 comments:

share2