Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 27, 2017

[KUANTAN] IBU TUNGGAL RAYU BANTUAN RUMAH


Ibu tunggal rayu bantuan rumah


Seorang ibu tunggal terpaksa pasrah tinggal di rumah peninggalan arwah suami yang terbengkalai walaupun keadaan rumah begitu uzur.

Rohayati Ahmad, 55, dari Kampung Permatang Badak berkata, dia mendiami rumah itu lebih 20 tahun lalu yang dibina di atas tanah pusaka arwah ibunya bersama tiga daripada tujuh anaknya yang masih bujang.

Bagaimana pun katanya, hasrat arwah suami, Suhaimi Malik untuk menyiapkan rumah mereka tidak kesampaian ekoran masalah kewangan dan kesihatan sehingga arwah suami meninggal dunia lima tahun lalu.

“Saya tidak mempunyai kemampuan untuk membaiki rumah yang semakin rosak selepas dilanda banjir beberapa tahun lalu menyebabkan sebahagian kayu reput dan menjejaskan rumah.

“Apatah lagi dua anak yang tinggal bersama, Mohd Anuar, 31 dan Mohd Ridzuan, 24, juga tidak berkemampuan kerana hanya bekerja biasa-biasa sahaja manakala anak bongsu, Rabiatul Adawiyah, 14, masih bersekolah,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Permatang Badak, Alias Hassan dan Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan Parlimen Paya Besar, Wahad Salleh.

Rohayati berkata, keadaan rumah satu bilik yang berada di kawasan berpaya juga menyebabkan kehadiran binatang berbisa seperti ular.

“Rumah saya yang tidak sempurna dengan dinding dan pintu yang tidak berkunci membuatkan saya agak risau.

“Malah tiap kali hujan, dalam rumah akan basah kerana atap bocor,” katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300 sebulan.

Rohayati berkata, dengan bantuan JKM itulah digunakan untuk perbelanjaan harian dan persekolahan anaknya selain wang anak-anak yang membantu.

Katanya, dia amat mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak yang sudi membantunya membaik pulih rumah tersebut.

Sementara itu, Mohd Zaili berkata, dia simpati dengan situasi yang dihadapi ibu tunggal berkenaan dan akan berusaha mendapatkan bantuan sewajarnya daripada kerajaan negeri.

Katanya, pihaknya sudah mengambil maklumat mengenai keluarga berkenaan dan akan tindakan demi keselamatan keluarga itu.

“Saya lihat keadaan rumah amat uzur dan tidak selamat kerana terdedah kepada bahaya memandangkan rumah ini tidak siap sepenuhnya,”katanya.

Pada lawatan itu, Mohd Zaili turut menyampaikan bantuan keperluan harian dan wang tunai bagi meringankan beban ibu tunggal itu.


0 comments:

share2