Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 8, 2017

[ROMPIN] 'TAK TERKIRA BUBU HILANG'


‘Tak terkira bubu hilang’


Harapan nelayan pantai di sekitar Kuala Rompin menggunakan bubu untuk mendapat hasil ikan tidak kesampaian apabila peralatan yang digunakan itu rosak dan hilang dipercayai ditarik pukat tunda.

Difahamkan, bubu dijadikan alternatif untuk menangkap ikan menggantikan penggunaan pukat pada musim hasil laut berkurangan.

Nelayan pantai, Mokhtar Mat Hasan, 53, berkata, bubu yang diletakkan di kawasan berbatu di dasar laut itu bagaimanapun bagaimanapun tidak dapat dipastikan hilang dipercayai ditarik pukat tunda asing atau tempatan.

“Pelampung ditinggalkan di lokasi bubu diletakkan sebagai tanda tetapi tapi hilang mungkin dilanggar bukan sahaja bot pukat tunda tapi juga bot memancing.

“Bila pelampung dah hilang kita tak boleh nak tarik bubu ke permukaan dah. Biasanya kita akan tarik guna tali pada pelampung itu, nak menyelam pergi tengok pun tak boleh sebab kedalaman lebih 10 meter, jadi terpaksa biarkan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Mokhtar berkata, masalah itu sering dihadapinya sejak menjadi nelayan lebih 30 tahun dan terpaksa menanggung kerugian termasuk kos membuat bubu bernilai kira-kira RM200.

“Kos untuk buat satu bubu memakan modal lebih RM200 dan ada yang diperbuat daripada kayu ada juga besi.

“Kos buat bubu kayu lebih murah hanya tapi tahan lebih kurang enam bulan saja. Ketahanan bubu besi boleh mencecah dua tahun tapi kosnya lebih tinggi.

“Jika nak kira dari mula jadi nelayan memang dah tak terkira bubu yang hilang atau rosak, untuk tahun ini sahaja sudah lebih 20 buah bubu yang hilang, sekarang yang tinggal dalam 16 sahaja di laut.

Menurutnya, pernah sebelum ini ketika beliau menaikkan bubu untuk melihat hasil tangkapan namun berasa kecewa kerana bubu itu telah rosak.

“Ini baru saya, nelayan lain pun sama sahaja masalahnya, biasanya kami tengok bila pelampung dah tiada anggap bubu sudah hilang. Kami pun tak pasti ia ada lagi di dasar laut itu atau tak.

“Bubu tak digunakan setiap tahun kerana ia bergantung pada musim ikan, jika hasil pukat tidak pulang modal maka bubu akan digunakan,” katanya.


0 comments:

share2