Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim kesal dengan kenyataan Profesor Dwight H Perkins dari Universiti Harvard yang dikatakan mengeluarkan kenyataan tanpa mendapatkan maklumat atau dibekalkan dengan data rujukan yang tepat berkaitan pencapaian universiti di negara ini.
Kenyataan itu dinyatakan ketika mengadakan pembentangan dalam Seminar Ekonomi bertajuk 'Policy Imperatives to Drive Future Growth' anjuran Jeffrey Cheah Institute-Malaysian Economic Association (JCI-MEA) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Daing Nasir berkata, keupayaan universiti di Malaysia dalam penyelidikan terbukti dari segi bilangan mahupun kualiti dengan dokumentasi yang objektif malah kolaborasi penyelidikan dengan hampir 180 negara menghasilkan impak yang besar dari segi pertambahan penerbitan artikel ilmiah dan Malaysia mendahului negara-negara ASEAN sejak 2010.
“Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula merupakan universiti yang tertinggi bilangan makalahnya di dunia dalam bidang Kewangan Islam.
“Selain itu, universiti di Malaysia juga melaksanakan Translational Research yang menterjemah secara langsung manfaat penyelidikan di universiti kepada komuniti, masyarakat, usahawan dan organisasi dengan inovasi sosial seperti di Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.
“Sehingga kini Malaysia mempunyai rekod RM 7.2 bilion dari segi pendapatan, geran dan sebagainya yang menampakkan pencapaian universiti yang boleh diterjemahkan. Contoh terkini, dari segi jaringan industri misalnya kita berbangga dengan pelancaran UTM Ericsson Innovation Centre for 5G (IC5G) dalam menggerakkan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.
Daing Nasir turut menjelaskan, berdasarkan laporan kajian yang disediakan World Economic Forum, penarafan Indeks Daya Saing (GCI) dalam Global Competitiveness Report (GCR) menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-25.
“Namun dari segi faktor-faktor berkaitan inovasi dan kecanggihan negara berada di anak tangga ke-20 daripada 138 buah negara. Semestinya sumbangan yang signifikan kepada daya inovasi negara adalah datangnya daripada organisasi penyelidikan seperti universiti.
“Setiap universiti awam di Malaysia pastinya mempunyai data yang sahih yang boleh di kongsikan kepada umum. Justeru, UMP berharap agar penyampai dalam seminar seperti yang dianjurkan oleh JCI-MEA di Kuala Lumpur baru-baru ini harus lebih bertanggung jawab dan profesional dengan melakukan kajian yang sewajarnya sebelum membuat rumusan dan penilaian,” katanya.
Sementara itu katanya, Profesor Dwight H Perkins mengatakan pandangan berkaitan kegagalan universiti di negara ini melahirkan graduan yang sesuai ke arah bidang inovasi dan penyelidikan.
Malah perkara itu dikaitkan dengan pelantikan presiden ataupun Rektor mahupun Naib Canselor Universiti dikatakan dipilih oleh kerajaan.
“Beliau bukan sahaja tidak mengetahui proses rapi yang digunakan dalam pelantikan berkenaan, malah amat tidak memahami bahawa Ketua Eksekutif sesebuah universiti di Malaysia dan beberapa negara lain disokong dengan tadbir urus yang mantap, berintegriti dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, dalam konteks di negara ini, governan universiti adalah berbeza-beza antara negara malahan governan di kebanyakan universiti juga agak berbeza namun seimbang dalam banyak dimensi melibatkan Senat Universiti, Lembaga Pengarah Universiti dan Jawatankuasa tertentu untuk melihat perkembangan akademik, penyelidikan dan kewangan.
“Seperkara yang penting juga di Malaysia ialah kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memacu kecemerlangan universiti,” katanya.
Selain itu, Profesor Perkins turut mengaitkan kelemahan universiti dengan politik, terdapat pihak yang diketepikan, ada yang dapat hak keistimewaan dan kelebihan tertentu.
“Dakwaan ini adalah tidak berasas dan perlu ditekankan di sini bahawa universiti di Malaysia mengamalkan sistem merit bagi pengambilan pelajar.
“Peluang untuk dapat pembiayaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terbuka luas kepada hampir kepada semua pelajar manakala bagi pengambilan pensyarah di universiti juga berdasarkan merit, sama ada tenaga pengajar tempatan ataupun antarabangsa, dengan melihat kepada kelayakan seperti ijazah kedoktoran (PhD), rekod penyelidikan, kelayakan profesional dan pengalaman,” katanya.
Daing Nasir turut menyarankan Profesor Perkins supaya merujuk kepada Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (Pendidikan Tinggi) dan dua pendekatan semasa KPT, iaitu Pengajian Fleksibel dan Merekabentuk Pendidikan Tinggi.
0 comments:
Post a Comment