Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 16, 2017

STRUKTUR PIMPINAN PAKATAN HARAPAN CELARU


Struktur pimpinan Pakatan Harapan celaru


Ampang - Pemuda Pas menyifatkan struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang baharu sebagai masih bercelaru.

Ketua Dewan Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, beliau tidak pasti apa yang cuba dilakukan Pakatan Harapan.

"Saya melihat Pakatan Harapan masih bercelaru. Sebelum ini mereka mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, kemudian Tun Dr Mahathir Mohamad pula," katanya dalam Majlis Hi-Tea dan Dialog, dekat sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Naib Ketua Pemuda, Ahmad Fadhli Shaari dan Timbalan Ketua Pemuda, Ir Khairil Nizam.

Tambah Khalil, apa yang penting tumpuan Pas adalah untuk membina kekuatan kami tersendiri dan bukannya sibuk melantik siapa akan menjadi perdana menteri.

"Pas mementingkan ciri-ciri dan kriteria yang perlu dipatuhi sekiranya individu itu hendak dilantik bagi menerajui negara. Kami meletakkan kepimpinan itu adalah Islam, Melayu dan adil.

"Inilah ciri-ciri kriteria utama bagi kami. Siapa pun dia, itu tidak penting...yang penting ciri-ciri ini ada," katanya.

Sebelum ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju menerima struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang baharu iaitu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum. Pengerusi pula adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.

Manakala, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu adalah timbalan presiden. Sementara itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chieng Jen dan Salahuddin Ayub menjadi naib presiden.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam berkata, Pas dalam gagasan sejahtera akan memfokuskan kepada negeri dan pusat selain akan bertanding lebih daripada 40 kerusi parlimen.

"Jangan terkejut jika kami bertanding lebih dari 111 kerusi parlimen. InsyaALLAH kami yakin dan percaya kekuatan kami seperti yang dibentangkan sebelum ini dan kami bersiap untuk bertanding lebih dari majoriti kerusi parlimen yang ada dalam negara," katanya.


0 comments:

share2