Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 7, 2017

[ROMPIN] LANCAR TABUNG BANTU ROHINGYA


Lancar tabung bantu Rohingya


Jemaah kariah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS) Tanjung Gemok tidak lupa terhadap isu penindasan etnik Rohingya di Myanmar dan terpanggil untuk menghulurkan sumbangan.

Pengerusinya, Datuk Md Rusli Ismail berkata, walaupun sudah kurang diperkatakan dalam siaran berita atau media sosial, namun mereka masih memerlukan bantuan kerana masalah dihadapi etnik itu belum selesai.

“Jadi, kita sebagai umat Islam di Tanjung Gemok ini rasa terpanggil untuk menghulurkan sumbangan kepada masyarakat Rohingya dengan melancarkan tabung sumbangan agar dapat mengumpul dana bagi membantu mereka.

“Hasil kutipan tabung adalah di luar jangkaan dan ini sekali gus membuktikan penindasan terhadap etnik Rohingya masih mendapat tempat di hati kalangan masyarakat tempatan,” katanya kepada pemberita, di sini kelmarin.

Terdahulu, kira-kira 1,000 kehadiran dicatatkan sempena Sambutan Maulidur Rasul Masjid SHAS Tanjung Gemok, manakala sebanyak RM2,100 berjaya dikumpulkan melalui tabung yang dilancarkan sebelum diserah kepada wakil Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Rompin.

Beliau berkata, acara persembahan qasidah burdhah oleh kumpulan Peladangnita Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin dan bacaan al-Quran oleh Qariah Negara, Rahmas Abdullah turut menyerikan majlis.

Menurut Md Rusli, program ceramah oleh Penasihat Agama kepada Sultan Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj), Datuk Dr Noh Gadot turut menjadi penyumbang kepada jumlah kehadiran yang ramai pada majlis itu.

Dalam pada itu, beliau turut menyasarkan pihak pengurusan masjid akan sentiasa menganjurkan program besar yang bermanfaat bagi tujuan menarik kehadiran penduduk ke masjid, selain mendapat ilmu daripadanya.

“Setakat ini sudah beberapa kali program besar begini kita anjurkan.

“Insya-ALLAH kita akan teruskan lagi pada masa akan datang kerana ia dilihat memberi impak yang besar kepada masjid dan masyarakat secara amnya,” katanya.


0 comments:

share2