Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 7, 2017

BUDAK NAKAL JADI PEMIMPIN


Budak nakal jadi pemimpin


Pada 18 Januari 2017, berlangsung Bengkel Kadet Wartawan Amanjaya Sinar Harian bertempat di SMK Khir Johari, Sungai Sumun, Bagan Datuk, Perak. 

Dalam bengkel tersebut, peserta diberi tugasan menulis beberapa artikel berbentuk berita dan rencana.

Paling menarik, peserta turut didedahkan dengan situasi sebenar dalam satu sidang media.

Peserta kali ini amat bertuah kerana berpeluang menemu bual Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Khadir.

Bersama Nur Amirah Hasanah Abdul Wahab, Nor Afikah Wardah Jalal, Siti Nurul Ain, Syaidatul Nadira, Najwa Natasya, Afikah Wardah dan Muhd Aidil Afif, ikuti temua bual yang dilakukan peserta-peserta program.



Siapakah tokoh yang paling Datuk Sri kagumi?

Bagi saya setiap aspek ada tokoh yang patut saya contohi. Misalnya dalam kehidupan, saya mengambil ibu dan bapa saya sebagai idola kerana pengorbanan mereka amat besar dalam mendidik saya mejadi insan berguna kepada masyarakat.

Ibu saya telah melahirkan saya, manakala bapa saya seorang nelayan yang sanggup bersusah payah mencari rezeki menyara kami sekeluarga. 

Dalam politik pula, saya amat mengagumi mantan-mantan perdana menteri dan tidak ketinggalan perdana menteri kini. Saya meneladani cara mereka dalam mentadbir negara sebagai petunjuk untuk menguruskan hal-hal politik.

Guru-guru saya juga merupakan tokoh yang saya sanjung dan kagumi kerana mereka mendidik dan mengajar saya untuk berjaya.



Adakah dahulu Datuk Seri seorang yang nakal atau mempunyai sifat kepimpinan sejak di bangku sekolah?

Hahaha...(ketawa). Kalau hendak kata tidak nakal, itu menipulah kerana budak-budak tidak sah tidak nakal. Namun, nakal tidak bermakna jahat.

Saya mengaku saya memang seorang yang nakal. Tetapi dalam kenakalan saya, sebenarnya saya seorang ketua darjah, menjadi kapten rumah sukan dan presiden dalam kegiatan kokurikulum sepanjang zaman persekolah saya. 

Jelaslah dan terbukti, sifat kepimpinan itu ada dalam diri saya sejak di bangku sekolah. 



Seperti semua orang tahu, Datuk Seri sentiasa sibuk dengan urusan politik, negara dan rakyat. Bagaimana Datuk Seri meluangkan masa dengan keluarga?

Kita ada 24 jam sehari. Jika kita fikir kita tiada masa, maka memang tidak ada masa lah untuk kita bersama keluarga.

Jadi, kita kena sentiasa berfikiran terbuka. Masalah kerja tidak akan saya bawa ke rumah. Malahan, dalam apa-apa jua majlis rasmi, saya akan bawa isteri saya. Seperti sekarang ini, beliau sentiasa berada di sisi saya. 

Adakalanya, saya turut membawa anak menghadiri majlis yang sama bagi menemani saya. Ini juga boleh diambil kira sebagai cara meluangkan masa bersama keluarga.



Sebenarnya kami cemburu dengan Terengganu kerana saban tahun ia menjadi negeri terbaik dalam UPSR, PMR, PT3, SPM dan STPM. Jadi, tiadakah apa-apa perancangan untuk menjadikan Perak setaraf atau lebih baik daripada Terengganu?

Wah, soalan yang cukup menarik! Sebenarnya ada beberapa faktor yang menjadikan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam peperiksaan awam. 

Antaranya, bilangan pelajar di Terengganu sedikit berbanding negeri Perak yang menjadikan negeri Terengganu lebih bagus dari segi pendidikan kerana nilai peratus pelajar yang mendapat keputusan cemerlang adalah lebih besar.

Terengganu juga mempunyai sumber peruntukan negeri yang mencukupi seperti royalti petroleum yang dapat menampung dan membantu pelajar-pelajar dalam proses pendidikan. 

Negeri Perak juga sebenarnya ada potensi yang sama. Kita pasti boleh menjadi seperti Terengganu jika pelajar-pelajar sendiri membantu mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum. 



Apakah perancangan Datuk Seri untuk membangunkan daerah Bagan Datuk dalam waktu terdekat ini?

Seperti yang saya maklum Bagan Datuk akan dijadikan sebagai daerah yang terkenal dalam sektor pelancongan dan pendidikan. 

Kita ada Pulau Sembilan yang berpotensi untuk menarik pelancong dari luar serta dalam negara.

Kita turut ada lokasi bersejarah iaitu Beting Beras Basah yang menjadi tempat untuk istiadat pertabalan Sultan Perak yang baharu.

Sebenarnya, negeri Perak merupakan negeri yang paling banyak menerima kunjungan pelancong berbanding negeri-negeri lain kerana Perak mempunyai lokasi-lokasi yang menarik pelancong untuk melawat. Bukannya Pulau Langkawi, Melaka atau negeri Terengganu. 

Dari segi pendidikan pula, seperti yang kita sedia maklum, kawasan Bagan Datuk akan ditubuhkan IPTA, MRSM, Maahad Tahfiz dan Politeknik.



Adakah Datuk Seri pernah terfikir untuk menjadi seorang pemimpin ketika di bangku sekolah atau mempunyai cita-cita lain?

Bukan hendak berkata apa, memang sejak zaman persekolahan lagi sifat kepimpinan ini telah ada dalam diri saya. 

Oleh sebab itu, saya lebih menonjol dari segi kepimpinan berbanding orang lain. 

Jadi, memang benar saya bercita-cita ingin menjadi seorang pemimpin sejak di bangku sekolah. 

Terima kasih Datuk Seri kerana sudi meluangkan masa dan memberi kerja sama dalam merealisasikan sesi simulasi sidang media bersama-sama kami sebagai Kadet Wartawan Amanjaya.


0 comments:

share2