Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 4, 2016

RTM SIAR 3 DOKUMENTARI KHAS KISAH 2 YANG DI-PERTUAN AGONG


RTM Siar 2 Dokumentari Khas Kisah 2 Agong


Kuala Lumpur – Unit Majalah dan Dokumentari RTM bakal menerbitkan tiga dokumentari khas me­ngenai perjalanan hidup Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Dokumentari ini akan disiarkan pada 11 Disember ini, selama 15 minit bertajuk Daulat Dirgahayu Tuanku diikuti dengan dokumentari Menjunjung Kasih pada 20 Disember ini yang akan disiarkan pada pukul 10 malam dan dokumentari Merafak Sembah pada 21 Di­sember ini pada pukul 10 malam di TV1.

Dokumentari khas itu akan memaparkan keunikan sistem penggiliran dalam konsep Raja Berperlembagaan di negara ini yang diwujudkan menerusi syor Suruhanjaya Reid 1957 sempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dan keberangkatan balik Tuanku Abdul Halim.

Sultan Kedah ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, justeru program dokumentari Menjunjung Kasih selama 30 minit itu turut menyusuri salasilah keluarga diraja Kedah dan juga keperibadian Sultan Abdul Halim mengekalkan corak pemerintahan almarhum ayahanda baginda iaitu ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.

Penerbit Rancangan Unit Majalah dan Dokumentari RTM, Mohd. Jasmaidy Mat Aroff berkata, kru penerbitan mendekati dua anakanda Sultan Abdul Halim, Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz dan Puan Muda Perak, Datuk Seri Diraja Tunku Soraya yang menceritakan sendiri mengenai ke­peribadian Yang di-Pertuan Agong ke-14 itu dalam mendidik puteri-puterinya agar mesra rak­yat sejak dari kecil lagi.

Katanya, dokumentari khas itu turut memuatkan koleksi kisah pencapaian Seri Paduka selama lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong sejak 2011 selain mendekati kerabat Diraja, rakan sekolah dan sejarawan bagi me­ngupas dengan lebih dekat ke­peribadian Seri Paduka.

“Ini yang kita tonjolkan kepada penonton betapa Sultan Kedah begitu disegani dan disanjung rakyat. Kemuliaan dan cara pemerintahan yang amat berjiwa rakyat akan menyentuh jiwa rak­yat,” katanya baru-baru ini.

Mohd. Jasmaidy berkata, pemilihan tajuk Menjunjung Kasih lebih kepada melambangkan lambaian mesra dan ucapan terima kasih rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong setelah tamat tempoh pemerintahan ba­ginda.

Beliau yang pertama kali diberi tanggungjawab menerbitkan dokumentari mengenai pembesar negara dalam tempoh 11 tahun kerjaya di RTM berkata, persiapan penting sebelum menerbitkan dokumentari itu ialah merangka idea dan menjalankan penyelidikan.

“Berbekalkan pengalaman yang ada saya menggunakan kemahiran berkomunikasi dan diplomasi mengikut protokol yang sebetulnya bagi mengelakkan berlaku salah faham.

“Kami juga bekerjasama dengan pihak istana untuk mendapatkan maklumat sahih dan tepat, selain dapat kerjasama daripada Yayasan Sultanah Bahiyah dalam memberi ca­dangan orang yang perlu ditemuramah dan tempat rujukan,” ujar­nya.

Mohd. Jasmaidy berkata, selain me­maparkan kisah Sultan Abdul Halim, dokumentari itu turut menonjolkan kelainan de­ngan mengete­ngahkan persediaan menyambut keberangkatan pulang ba­ginda ke Kedah. ­

“Saya melihat ada satu sudut menarik yang boleh ditonjolkan ketika istiadat keberangkatan pulang Sultan Kedah. Semasa Sultan Kedah tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Seri Paduka disambut dengan perarakan gajah dan kuda bagi menunjukkan kedaulatan Sultan Kedah.

“Selain itu ketika hari kejadian, mengapa tidak kita mengenali mereka yang bertungkus lumus membuat persiapan tersebut. Saya mengambil slot selama lima minit bercerita mengenai persiapan perarakan gajah oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Pusat Pemuliharaan Gajah Kuala Gandah, Pahang.”




Seorang lagi Penerbit Rancangan Unit Majalah dan Dokumentari RTM, Ahmad Faizal Mohamad Said berkata, dokumentari perjalanan hidup Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara dengan memaparkan biografi, sifat keperibadian warak tuanku, pertukaran bendera dan keistimewaan gendang Diraja yang merupakan salah satu istiadat di Kelantan.

“Kami mengambil masa selama sebulan untuk merangka, menjalani penggambaran dan juga proses sun­tingan. Selain kru di ibu pejabat, kami juga mendapat kerjasama daripada kru negeri untuk sama-sama menghasilkan dokumentari khas ini.

“Walaupun menghadapi sedikit halangan kerana melibatkan protokol istana, namun kerjasama daripada pihak istana benar-benar membantu dalam memudahkan proses menyaluran maklumat serta penggambaran,” katanya.

RTM turut menyiarkan lintas langsung istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim dan Istiadat Keberangkatan Tiba Yang di-Pertuan Agong ke- 15, Sultan Muhammad V.

Menurut Penerbit Rancangan Seksyen Ehwal Semasa, Razliza Abdul Razak, selain lintas langsung di lima lokasi, kali ini, RTM membawa kelainan de­ngan me­maparkan visual mengenai peme­rintahan Tuanku Abdul Halim sebanyak dua kali, yang dahulu dan sekarang. Selain itu, konsep grandstand akan mengadakan siaran langsung dari Studio 1.

“Menariknya set kami kali ini akan mengikut seni hiasan istana di Kedah dan Kelantan. Selain memaparkan latar belakang dan pencapaian, kami juga menjemput panel untuk berkongsi mengenai keperibadian kedua-dua sultan berkenaan,”katanya.

Rakan setugasnya, Hanihafiza Yacob berkata, matlamat utama rancangan ini bukan sahaja untuk mengangkat adat istiadat Diraja yang perlu diketahui oleh rak­yat, malah secara tidak langsung mendidik orang ramai mengenai konsep Raja Berperlembagaan.

Jawatan Yang di-Pertuan 
Agong ke-14 yang disandang oleh Tuanku Abdul Halim akan tamat tempoh perkhidmatan pada 12 Disember ini.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V akan mula menyandang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.


0 comments:

share2