300 ribu umat Islam Rohingya kini bertebaran menjadi pelarian dalam krisis kemanusiaan terburuk di rantau Asia Tenggara pada alaf 21.
Manakala sejuta umat Islam minoriti itu, kini terperangkap di Rakhine dan diancam kempen penghapusan etnik melalui siri pembunuhan massa yang dilakukan pihak tentera, orang awam serta sami buddha.
Walaupun UNHCR melaporkan terdapat 60 ribu pelarian Rohingya kini berada di negara ini, namun rekod kaji selidik NGO tempatan (MAPIM) memaparkan data 141 ribu pelarian Rohingya berada di seluruh negara.
Myanmar meneruskan dasar penghapusan etnik secara terbuka dan berleluasa sejak 2004, namun siri pembunuhan kejam secara terbuka bermula sejak 2012.
Sejak kekejaman itu, lebih 25 ribu pelarian Rohingya hanyut di lautan menuju pelbagai negara sejak tiga tahun lalu dengan 300 kes kematian dilaporkan akibat dihidrasi dan kebuluran dalam bot.
Manakala Agensi Berita Rakhine melaporkan, pada Khamis 1 Disember, lebih 50 mayat penduduk Islam ditemui dalam keadaan ngeri termasuk dipenggal kepala dan dibakar hidup-hidup dalam siri penghapusan etnik terbaru.
Pada 2012, lebih 100 mayat ditemui termasuk beberapa bayi yang sengaja dibiarkan mati terpanggang di atas zink. Kejadian ini mencetuskan kemarahan dunia, namun pada pertengahan November lalu, tentera yang disokong masyarakat awam serta sami Buddha melancarkan satu lagi kempen menghalau keluar umat Islam Rohingya.
Hari ini umat Islam di Malaysia bersatu dalam Perhimpunan Solidariti Demi Rohingya yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Perhimpunan di Stadium Titiwangsa dipenuhi hampir 20 ribu peserta yang memprotes kekejaman tidak bertamadun kerajaan Myanmar terhadap umat Islam Rohingya.
Kempen yang dilancarkan pagi ini hanya pembuka jalan. Putrajaya sudah menyatakan komitmen untuk memanggil Duta Myanmar bagi penyerahan nota bantahan. Malah, adalah tidak mustahil Malaysia mengambil langkah lebih drastik dengan membawa usul kekejaman Myanmar ke Sekretariat Asean bagi tindakan sekatan mahu pun menggantung keahlian Myanmar yang nyata mencemar Piagam Hak Asasi PBB.
Sebagai langkah awam, ayuh kita menderma demi kebajikan Rohingya. Kita mulakan langkah kemanusiaan di peringkat awam, ketika kerajaan memulakan langkah agresif di peringkat diplomatik dalam usaha memulakan tekanan antarabangsa terhadap Myanmar.
Ingat! Kita pernah melakukannya demi Bosnia pada 1994 hingga 1996. Akhirnya, masyarakat Islam yang ditindas dihadiahkan sebuah negara di bumi Balkan.
0 comments:
Post a Comment