Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 9, 2016

WANITA MAUT JATUH LUBANG KETIKA RAKAM GAMBAR


Wanita maut jatuh lubang ketika rakam gambar


Dungun - Seorang wanita yang menyertai ekspedisi mendaki dan berkelah di Kuala Jengal maut apabila dia terjatuh di dalam lubang berkedalaman kira-kira 5 meter ketika sedang mengambil gambar di Lubuk Cermai, di sini, semalam.

Mangsa, Pang Choon Hua, 43 bersama 15 lagi rakan di bawah kelab 4x4 Johor Offroad menyertai ekspedisi mendaki dan berkelah di hutan Kuala Jengai sejak tiga hari lalu dan sepatutnya pulang ke Johor semalam.

Bagaimanapun, sewaktu perjalanan pulang dan ketika keluar dari kawasan itu mangsa bersama rakan-rakan berhenti di satu kawasan sebelum mangsa terjatuh di dalam lubang dan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Rakannya, Wang Kim Hwa, 46 berkata, sewaktu kejadian mangsa sedang merakam gambar rakan-rakan yang lain dan tidak menyedari terdapat lubang berbahaya di belakangnya.

Menurutnya, rakan-rakan lain hanya terdengar satu jeritan kuat dan kemudiannya melihat mangsa sudah terbaring tidak sedarkan di dalam sebuah lubang yang agak dalam.

"Kami masuk ke kawasan ini pada 6 Julai yang lalu menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk berkelah.

"Ini kali pertama dia menyertai kami dan saya baru sahaja berkenalan dengannya.

"Seperti biasa dia menjalankan tugas merakam video dan mengambil gambar rakan-rakan yang lain.

"Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi sebelum pulang kami berhenti di satu kawasan.

"Sewaktu mengambil gambar, dia mengundur beberapa langkah ke belakang dan tidak menyedari terdapat sebuah lubang di belakangnya.

"Rakan-rakan lain juga tidak menyedari kewujudan lubang itu dan selepas satu jeritan kuat didapati dia sudah berada di bawah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Dungun, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.


0 comments:

share2