Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 13, 2016

PENULIS KHAT MALAYSIA LAKAR NAMA DI UAE


Penulis khat Malaysia lakar nama di UAE


Shah Alam - "Ini hadiah Aidilfitri buat rakyat Malaysia". Demikian tutur penulis khat terkenal, Abdul Baki Abu Bakar, 42, apabila beliau terpilih menjadi satu-satunya wakil Asia Tenggara dalam kalangan 30 penulis khat terbaik dunia untuk menyiapkan sebuah mushaf al-Quran di Multaqa Ramadan Likhattil Quranil Kareem 2016 di Dubai yang berlangsung pada penghujung Ramadan.

Abdul Baki yang juga merupakan Pengarah Galeri Diwani Kraf berkata, program yang diadakan pada setiap tahun di Dubai, dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan UAE bagi menghasilkan al-Quran tulisan tangan dengan setiap juzuk ditulis oleh penulis khat terkemuka dunia.

"30 orang ini dipilih dan setiap mereka akan diberikan tugasan untuk menyiapkan satu juzuk al-Quran, untuk tahun ini pihak UAE meminta untuk kami menulis khat jenis Muhaqqaq dan Raihani iaitu jenis-jenis khat yang sudah lama digunakan untuk menulis al-Quran iaitu pada zaman empayar Islam kedua, Kerajaan Bani Abbassiyah.

"Tugasan ini agak mencabar kerana sekarang tulisan itu jarang digunakan, dan kami kena buat kajian, namun Alhamdulillah kami semua dapat menyiapkan tugasan itu pada tarikh yang ditetapkan dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kebudayaan UAE pada 27 Ramadan ,3 Julai, lalu di Dubai," katanya kepada Sinar Online hari ini.

Dua bulan ambil masa

Berbicara lanjut, Abdul Baki berkata, sebelum itu, mereka diberi masa selama dua bulan untuk menyiapkan hasil tulisan khat itu sebelum dihantar pada 27 Ramadan.

"Selepas itu, kami semua tinggal di sana selama seminggu untuk dinilai hasil kami, dan sekiranya terdapat sebarang kesilapan kami perlu memperbetulkan semula, tapi Alhamdulillah kesemuanya berjaya menyiapkan tugasan dengan sempurna dan telah diserahkan," katanya.

Lakar lagi satu kejayaan

Sementara itu, Abdul Baki juga telah mengharumkan nama Malaysia setelah diumukan sebagai pemenang pertama pertandingan seni khat antarabangsa di Arab Saudi sempena ulang tahun sambutan Souk Ukaz (sebuah tempat bersejarah di Arab Saudi).

"Ini antara kejayaan terbesar saya, sehinggakan selepas saya diumumkan pemenang, bertalu-talu wartawan Arab menelefon saya untuk bertanyakan mengenai kejayaan saya itu.

"Ramai yang terkejut kerana belum pernah ada orang selain berbangsa Arab yang memenangi pertandingan itu sebelum ini, namun apapun bagi saya, apa sahaja boleh kita lakarkan sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh," katanya yang sudah 20 tahun bergiat aktif dalam bidang seni tulisan khat.

Menurut Abdul Baki lagi, pada pertengahan Ogos ini beliau dijemput ke Arab Saudi untuk menyertai majlis penyampaian hadiah di sana dan dikhabarkan beliau akan memperoleh 50,000 Riyal di atas kejayaannya itu.


0 comments:

share2