Simpang Renggam - Seorang pemuda, Muhammad Safar, 22, yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan mampu mencipta kerjayanya sendiri hasil bantuan ahli keluarga bagi menjana pendapatan.
Menurut kakak sulungnya, Norazlia Safar, 31, anak keempat daripada lima beradik itu merupakan orang kurang upaya (OKU) yang tidak mampu keluar bekerja disebabkan kecacatan fizikal sejak dilahirkan.
Katanya, walaupun adiknya tidak sempurna, namun ahli keluarganya cuba sedaya upaya untuk mencipta suatu pekerjaan yang mampu dilakukan Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mamat.
“Daya keupayaan Mamat amat terbatas kerana dia hanya mampu guna kaki sahaja. Jadi kami bersama ibu dan adik-beradik yang lain memikirkan sesuatu yang boleh dibuat Mamat di rumah untuk jana pendapatannya sendiri.
“Disebabkan Mamat kami mengusahakan cuba menjual sesuatu secara atas talian dan memikirkan untuk menjual ketupat mini sebagai permulaan sejak Ramadan lalu.
“Perniagaan ketupat mini ini baru sahaja dibuat pada Mei lalu dan ianya dijalankan secara kecil-kecilan. Idea ini diperoleh disebabkan saya sendiri menjana pendapatan dengan menjual barangan secara online di laman sosial Facebook dan Instagram,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Parit Haji Hashim, Simpang Renggam, dekat sini, semalam.
Norazlia berkata, sebagai permulaan Mamat diberi tugas untuk menampal pelekat pada setiap bungkusan ketupat mini sebelum dijual kepada pelanggan.
Menurutnya, walaupun setiap pekerjaan diarahkan dilakukan Mamat secara teliti, bagaimana pun adiknya itu cepat penat.
Katanya, perniagaan menjual ketupat mini diwujudkan adalah khas untuk Mamat selain produk lain seperti maruku, sambal hitam dan serunding daging.
Malah katanya, walaupun keluarganya mempunyai perniagaan sendiri tetapi dia mahu mendidik adiknya itu agar mampu berdikari.
“Mamat kalau penat dia akan berhenti dan kemudian akan sambung balik kerana kami adik-beradik mengetahui tahap keupayaan adik kami ini.
“Apa yang penting Mamat cepat belajar dan dia mampu melakukan pekerjaan yang mudah ini, di samping dapat mendidik dia cara mencari duit sendiri. Walaupun upahyang diberi tidak seberapa, namun ianya sangat berbaloi kerana itu adalah hasil titik peluhnya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
0 comments:
Post a Comment