Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 11, 2016

‘NIEL DAH TAK SEMPAT NI...'


‘Niel dah tak sempat ni...’


Tumpat - “Dia merengek nak ikut pergi Kuantan nak jumpa kawan lama, dia kata... Niel (Wan Danial) dah tak sempat ni nak jumpa kawan...," kata Faridah Mohd Nor, 52, ibu kepada kanak-kanak yang mati lemas di sungai Kampung Gerong di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Wan Danial Wan Ibrahim, 10, anak bongsu daripada lima beradik dari Kampung Sungai Nyiur, ke sungai berkenaan bersama tiga rakan untuk mandi.

Lebih menyentuh hati, Danial ke sungai sambil menyarung baju raya kesayangan pemberian abang sulungnya yang dipakai dua hari berturut-turut.

Faridah berkata, dia tidak menyangka anaknya ke sungai kerana sebelum itu Allahyarham ke Kampung Laut bersama ibu saudaranya serta sepupu, Wan Danish Wan Yusof, 14, dan Wan Hafizul, 16.

“Dia turun dari rumah kira-kira jam 12 tengah hari untuk ke kampung sebelah, Wan Danish itu anak angkat saya, mereka akrab seperti adik beradik.

“Saya diberitahu, di Kampung Laut itu dia bertemu rakan sekelasnya dan mereka berempat pergi mandi sungai dekat Kampung Gerong,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Guru lama beri duit raya

Menurutnya, banyak perubahan pelik ditunjukkan Allahyarham namun tidak menyangka itu petanda ajalnya, namun dia reda atas pemergian anaknya itu.

Dia berkata, Wan Danial beria-ia mahu mengikut suaminya, Wan Ibrahim Wan Othman, 58, ke Kuantan kerana mahu berjumpa kawan lama memandangkan mereka sekeluarga baru dua bulan berpindah ke Kampung Sungai Nyiur.

"Suami saya bersara awal sebagai anggota polis, jadi kami terus pindah ke sini dari bandar Kuantan. Anak saya nampak teruja hidup di kampung dan sekolah di Sekolah Kebangsaan Sri Kampong Laut.

"Cuma dia selalu pujuk bapanya untuk balik ke Kuantan nak jumpa kawan. Kebetulan suami saya ada urusan kerja di sana seminggu sebelum raya, dapatlah anak saya ikut.

“Saya syukur hasrat dia mahu berjumpa bekas guru dan kawan-kawannya tercapai... dia sempat bersalaman dengan bekas gurunya dan dapat duit raya lagi,” katanya.

Dengar mangsa minta tolong

Sementara itu, abang angkatnya, Wan Danish berkata, mereka berempat ke sungai itu berjalan kaki untuk mandi.

“Memang jauh tempat itu, kami berjalan kaki dari rumah mak saudara ini... tiba di situ adik (Wan Danial) terus tanggalkan baju raya dia dan terus mandi sungai,” katanya.

Menurutnya, tiba-tiba dia terdengar Wan Danial meminta tolong dan dia terus meminta bantuan penduduk kampung berada berdekatan sungai itu.

“Bila saya sampai semula, adik dah hilang, orang kampung yang cari adik dan tak lama kemudian jumpai adik sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, dia pulang ke rumah bersama seorang penduduk kampung untuk memberitahu ibunya yang ketika itu baru selesai solat Zohor mengenai berita kematian Wan Danial.

Tak tahu kedalaman sungai

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian daripada Pusat Gerakan Operasi pada jam 3 petang.

Menurutnya, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Ayub Mahmood bersama lima anggota bergegas ke lokasi untuk operasi menyelamat mangsa.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pada jam 3.26 petang, mayat Wan Danial Wan Ibrahim, 10, sudah dijumpai orang awam.

“Mangsa ke sungai itu bersama kawan-kawannya, mungkin mangsa tidak mengetahui sungai itu dalam,” katanya.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kemudiannya diserahkan kepada keluarga.

Jenazah Wan Danial disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Laut kira-kira jam 9 malam kelmarin.


0 comments:

share2