Sebut tentang hari raya, macam-macam terbayang di fikiran. Rendang, ketupat, baju raya, kuih raya, duit raya dan macam-macam lagi.
Tapi bila diingat kembali sambutan Aidilfitri dulu-dulu... mungkin 10 atau 15 tahun dulu, ada satu aktiviti yang paling tidak disukai tapi terpaksa juga dibuat kerana ia ‘arahan’ mak.
Kami adik beradik terpaksa mengejar ayam-ayam (yang dibela mak tanpa reban) untuk disembelih buat hidangan pagi raya.
Memang riuh sekampung dengan bunyi ketukan ayam dan jeritan kami termasuk mak.
“Jangan sampai patah riuk ayam mak!
“Baik-baik ayam masuk rumah!
Tapi, itu semua sudah berlalu. Kini, ayam beli saja di pasar malah sudah siap dipotong. Cakap saja nak potong berapa.
Memang menjimatkan masa tapi aktiviti yang dulu tidak disukai itulah juga akhirnya paling dirindui masa ini.
Apabila bercerita dengan mak kenangan lama, memang bikin mak gelak besar.
Teringat pula dulu-dulu bila tiba malam raya, adik-beradik, pak cik mak cik, sepupu sepapat, semuanya tidur bergelimpangan di ruang tamu.
Bila dah berkumpul, borak panjang dengan macam-macam cerita keluar sampaikan semua tidur lewat.
Semua bahagi kerja. Ada yang tolong memasak di dapur, menjaga api masak ketupat dan lontong, memasang langsir dan mengisi kuih raya ke dalam balang.
Kanak-kanak pula sibuk bermain bunga api di halaman. Pagi raya, mak menjadi jam loceng yang bakal mengejutkan semua orang.
“Bangun! Bangun! Subuh dah. Hari ini raya! Cepat bangun!” Ini laungan mak hampir tiap kali raya.
Maka semua orang bangun beratur nak mandi walaupun masih ada yang liat.
Tapi bila tengok jam di dinding, rupa-rupanya baru pukul 5.30 pagi. ‘Tipuan’ mak tetap berjaya setiap tahun.
Begitulah suasana beraya di kampung halaman bersama keluarga memang meriah dek pelbagai aktiviti tapi kemeriahan sekarang tidak sama seperti dulu.
Masa berlalu, keluarga yang dulunya besar sudah kembali ‘mengecil’ dengan mak ayah pun sudah semakin uzur, adik-beradik dan sepupu sepapat semua sudah berumah tangga manakala pak cik mak cik pula ramai yang sudah kembali ke Rahmatullah.
Kadang-kadang kami beraya hanya dengan mak ayah dan sebuah keluarga kecil abang atau kakak kerana mereka bergilir beraya di rumah mertua masing-masing.
Namun kesyukuran tetap dipanjat kepada Illahi kerana penulis masih berpeluang beraya bersama keluarga tercinta. Tak kiralah besar atau kecil keluarga itu. Hargailah mereka selagi diberi kesempatan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
0 comments:
Post a Comment