Kuala Lumpur – Pengguna jalan raya khususnya bagi yang mahu pulang beraya ke kampung tahun ini diingatkan supaya tidak menggunakan laluan kecemasan untuk memotong kenderaan lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota (Litrak), Sazally Saidi berkata, ia hanya akan menambah kesesakan lalu lintas di samping membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Sebenarnya laluan kecemasan direka hanya untuk kegunaan kecemasan. Malangnya ia disalahgunakan terutamanya pada musim perayaan.
“Penyalahgunaan laluan ini boleh menyebabkan pasukan kecemasan lewat tiba lokasi kes kecemasan. Kita harap pengguna tidak menggunakan laluan kecemasan demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya ketika ditemui Sinar Online dalam program anjuran syarikatnya, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, buat masa ini, Lebuh Raya Litrak belum mencatatkan kemalangan melibatkan penyalahgunaan laluan kecemasan.
Ini kerana tambahnya lagi, pihaknya mempunyai prosedur tersendiri yang memastikan kemalangan sebegitu dapat dielakkan.
Sazally juga berharap agar pengguna yang memandu pulang ke kampung tahun ini dapat merancang perjalanan, mematuhi segala peraturan jalan raya.
“Pemandu juga dinasihatkan mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Fokus di jalan raya adalah penting bagi keselamatan diri, penumpang, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.

0 comments:
Post a Comment