Sebanyak 127 buah rumah dan bangunan kerajaan di lapan kampung di sini mengalami kerosakan akibat dipukul ribut semalam.
Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Negeri, Kolonel Zainal Yusoff berkata, antara kampung yang terlibat dalam kejadian pada pukul 5.40 petang itu ialah kawasan Batu Satu, Kampung Chamang Baru, Kampung Chamang Lama, Rumah Murah Batu Satu, Jalan Tras, Kampung Perting dan Kampung Kemansur, Kuala Repas dan Kampung Repas
Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima setakat hari ini, sebanyak 115 buah rumah rosak manakala sembilan bangunan kerajaan serta sebuah surau.
“Kebanyakannya rosak di bahagian bumbung. Semasa kejadian, kebanyakan penduduk sedang berehat pada waktu itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat JPAM Daerah Bentong, di sini.
Zainal yang juga merupakan Sekretariat Bencana Daerah Bentong berkata, dirinya bersyukur kerana tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang turut menumbangkan banyak pokok itu.
Menurutnya, rumah yang rosak akibat bencana alam itu dijangka bertambah dan operasi pembersihan pokok tumbang dan rumah mangsa yang terjejas masih dijalankan.
Bagaimanapun, beliau berkata tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini berikutan mangsa yang terlibat dan mengalami kerosakan serius menumpang di rumah jiran atau saudara masing-masing.
Tambahnya, penyambungan semula kabel elektrik yang terputus dan gangguan bekalan elektrik yang telah terjejas telah dilakukan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad.
“Bantuan kecemasan akan terus diberikan kepada mangsa-mangsa terlibat oleh agensi bertanggungjawab dan kami sedang mengumpulkan data maklumat rumah dan kawasan yang terjejas dalam operasi ini,” katanya.
Sementara itu, mangsa, Rosni Mohd Akhir, 54 berkata ketika ribut kuat dia sedang berada di dalam rumah.
Menurutnya, angin berserta hujan lebat itu menyebabkan bumbung rumahnya diterbangkan angin dan mengalami kerosakan teruk termasuk bahagian garaj keretanya.
“Saya sangat terkejut dan takut kerana angin begitu kuat semalam sehingga menyebabkan bumbung saya tercabut dan mengakibatkan air masuk ke dalam rumah.
"Banyak peralatan rumah terutama barangan elektrik rosak akibat terkena air hujan selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang,” katanya.
Tambahnya, akibat kejadian itu, dirinya telahpun membuat laporan polis untuk mereka mendapatkan bantuan bencana yang sangat diperlukan oleh dirinya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika melawat kawasan kejadian berkata, kejadian semalam adalah yang terburuk pernah berlaku di daerah ini.
"Kampung Chamang mencatatkan jumlah rumah yang paling banyak mengalami kerosakan dengan 43 buah diikuti kawasan Batu Satu 38 buah dan 15 di Kampung Chamang Baru.
"Saya akan Cuba membantu mangsa mendapatkan peruntukan membaik pulih rumah yang rosak dan berharap penduduk bersabar dengan kejadian ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment